Pagi Isnin yang kelabu. Awan
menutupi langit biru menciptakan cuaca mendung. Sudah beberapa hari cuaca
sebegini berlarutan sehingga penyakit demam selsema mudah merebak. Adrian
merupakan salah seorang mangsanya. Dia mula diserang batuk-batuk dan demam
sejak hujung minggu lalu lagi. Mungkin terjangkit dengan setiausahanya di
pejabat.
Jam
meja menunjukkan 8.00 pagi. Biasanya, waktu begini Adrian sudah berada di
pejabat. Tapi berbeza untuk hari ini. Dia terpaksa berehat di rumah atas arahan
ibunya. Lagipun dia sendiri rasakan dirinya tidak larat untuk bekerja pagi ini.
Kepalanya terasa sangat berat sementara tekaknya gatal dan tidak selesa. Jadi,
dia masih terlantar di atas katil dengan pijamanya sambil cuba membawa dirinya
tidur semula.
Sementara
dia melayang-layang dalam fikirannya dengan mata tertutup, telinganya menangkap
bunyi samar-samar dari tingkat bawah. Pada mulanya, dia buat tidak endah saja.
Tetapi, apabila bunyi-bunyian itu kini berulang-ulang, dia kejengkelan. Dia
cuba mendengar dengan teliti dari mana datangnya muzik itu. Adrian yakin itu
pasti datang dari piano di tingkat bawah. Not-not yang dimainkan merupakan lagu
kanak-kanak yang sangat mudah dimainkan. Dia pun tahu memainkannya. Kemudian
lagu itu berulang lagi. Dan lagi. Akhirnya, Adrian tidak tahan. Dia mahukan ketenangan
di awal pagi begini. Bukannya mendengar persembahan lagu kanak-kanak yang
berulang-ulang sehingga membuat dia hilang sabar.
Dia
mengagahi tubuhnya untuk melangkah dari katil. Langkah diatur ke luar. Dari atas
dia dapat menjenguk siapa pemain piano amatur yang menganggu rehatnya awal-awal
pagi begitu. Rupanya, si pembantu rumah yang beruniform birulah yang tidak
henti-hentinya memainkan lagu yang sama sejak tadi. Amboi, suka hati dia sahaja
menekan-nekan piano mahal tu, fikir Adrian yang mulai baran.
“Ehem,”
Adrian berdehem kuat, bagi menghentikan muzik menjengkelkan itu.
Lantas
mainan muzik tadi berhenti. Kepala Nina mendongak ke tingkat atas secara
automatic apabila mendengar deheman itu. Alamak! Si BlackNwhite! Nina pantas berdiri dan menunduk kea rah Adrian. Kejutan
membunuh di awal pagi.
“Hebat
sangat kau main piano, ya. Sampai membuatkan aku tak tidur lena kerana
‘keasyikkan’ mainan lagu Chopstick kau tu,” sindiran berkias disampaikan dengan nada tegas.
Nada
suara itu mengingatkan Nina akan kejadian semasa temu duga yang lalu. Nada
inilah yang lelaki ini gunakan untuk menyindirnya pada ketika itu dan nada ini
jugalah yang dia gunakan sekarang untuk menyindirnya. Ulu hatinya dirasakan ngilu.
Pisang nampaknya sudah berbuah dua kali akibat kesilapannya sendiri.
“Kenapa
berhenti bermain? Mainlah lagi sampai tengah hari. Sampai esok ke,” satu lagi
sindiran dilancarkan. Nina tidak berani menyahut, apalagi memandang kea rah
Adrian. Kini dia mempersalahkan dirinya sendiri. Kenapalah gatal sangat tangan
ni nak menekan piano ni. Kan dah susah, dia meleter dalam hati.
Adrian
yang sedang panas hati itu masih memandang tajam kearah perempuan yang sedang
menunduk di bawah sana. Tahu takut, ujarnya dalam hati. Tapi buat bising tak
takut pula. Inilah agaknya orang gaji yang Mike cakap tu. Tak ada kelebihannya
pun aku tengok. Adrian mula merungut sendirian.
“Kau
nak berdiri sana sampai bila? Nak tunggu kena pecat baru nak mula kerja?”
sergahan Adrian membuat Nina kecut perut. Pecat?! Ah, tidak! Nina lantas
bergerak menuju ke dapur bagai lipas kudung. Dia tidak pernah rasa setakut ini
berhadapan dengan orang. Perasaan ini lebih teruk daripada berhadapan dengan
Prof. Madya Norhayati yang garang sewaktu belajar dulu.
Adrian
sebenarnya masih belum berpuas hati dengan perempuan itu. Dia masih belum puas
melampiaskan rasa jengkel dan geramnya. Tapi memandangkan kesihatan dirinya
tidak mengizinkan, dia terpaksa membiarkan budak itu hilang dari pandangannya
begitu sahaja. Akhirnya, dia melangkah semula ke dalam biliknya dengan niat
untuk menyambung tidur yang diganggu sebentar tadi.
Sementara
itu, di tingkat bawah, Nina sedang berperang dengan perasaannya. Jantungnya
masih berdenyut kencang akibat takut berdepan dengan si BlackNwhite. Dia meneguk segelas penuh air untuk menghilangkan rasa
gelabahnya itu. Apa bodohnya dia pagi itu, sampai-sampai dia begitu yakin pergi
mengacau piano yang tidak diendahkannya selama ini. Kemudian dia terfikir
kenapa lelaki itu tidak ke pejabat hari ini. Dia cutikah? Sakit atau saja-saja?
Suara
Mak Nah yang kedengaran samar-samar dari luar pintu dapur menarik perhatian
Nina. Tidak lama kemudian kelibat wanita gempal itu muncul dengan kedua-dua
tangannya mengangkat beg-beg plastic berisi barangan dapur. Pasti wanita itu
baru pulang dari membeli belah di pasar raya. Sejurus kemudian wanita itu
memberi salam yang kemudiannya disambut Nina dengan sopan.
“Mak
Nah tahukah yang Tuan Adrian cuti hari ini?” Nina terus bertanya sambil
membantu mengangkat beg-beg plastic ke atas meja dapur. Sementara itu dia mahu
tahu hal yang sebenarnya.
“Tahu.
Pagi tadi Nyonya Maria bagi tahu yang Tuan Adrian sakit selsema. Dia suruh Mak
Nah sediakan air halia untuk Tuan Adrian,” jelas Mak Nah sambil mengesat peluh
di dahi menggunakan selendang hijau yang menudungi kepalanya tadi.
“Adoi,
Mak Nah! Saya dah buat salah awal-awal pagi ni. Kalaulah saya tahu dia ada di
rumah saya taklah pergi kacau piano tu,” Nina mula mengeluh dalam masa yang
sama menceritakan kejadian yang baru berlaku tadi.
“Apa?
Kau buat apa dengan piano tu? Habis macam mana sekarang?” Mak Nah mula cemas.
“Saya
mainlah takkan makan pula. Apa lagi dia terdengarlah. Habis panas telinga saya
dengar dia punya sindiran Mak Nah,”
“Hah,
tulah kamu. Pergi kacau lagi barang-barang orang. Kan dah kena. Dia cakap apa?”
Mak Nah tersenyum-senyum pula bagai menambah kegelisahan di hati Nina.
“Tak
adalah juga. Dia tak pecat aku lagi. Agaknya dia marah kat aku,” cerita Nina
masih memikirkan nasibnya.
“Kau
dah minta maaf ke ni?”
“Alamak!
Belum lah. Lupa. Asyik bergegar lutut tadi,” Nina menepuk dahinya penuh
kekesalan.
“Eh,
budak ni. Tak apalah. Mak Nah ada idea. Kamu pergi minta maaf masa hantar
makanan nanti,” cadang Mak Nah.
“Saya
ke yang kena hantar makanan? Ala, tak beranilah,”
“Tak
berani apanya? Tak ada alasan. Kamu kena pergi juga. Kamu kena layan dia
sepanjang hari ini sebagai tanda minta maaf.”
Nina
memandang Mak Nah dengan dahi berkerut. Nampaknya dia tiada pilihan lain.
Cadangan Mak Nah ini merupakan jalan terbaik untuk menyejukkan hati si Tuan
Adrian.
***
Jantung Nina berdebar-debar kencang
ketika semakin menghampiri bilik Adrian. Menggeletar seluruh tubuhnya
membayangkan apa yang bakal terjadi seketika lagi. Identity sebenarnya pasti
akan terbongkar dan masa depan dia di rumah itu serta-merta menjadi gelap.
Tiba-tiba dia teringat kata-katanya sewaktu temu duga sebulan lebih yang lalu.
Dia tak sangka dia berani mati mengutuk si Adrian itu tentang etika pakaian.
Tulah, lain kali main cakap lepas lagi. Kerana lidah badan binasa, Nina sempat
menginsafi diri.
Dengan
tangan yang terketar-ketar dia memberanikan diri mengetuk pintu bilik itu.
Sepi. Takkan belum bangun lagi kot, Nina berfikir lalu mengerling kea rah jam
dinding di ruang tamu. Sudah jam 11.30 pagi. Sudah keterlaluan kalau bangun
selewat ini. Pintu diketuk lagi.
“Masuk!”
Nina
lantas menelan liurnya. Nada suara yang digunakan orang di dalam bilik itu
tidak menandakan sesuatu yang positif akan berlaku. Tapi apa pun juga dia harus
membuka pintu yang sudah diketuknya dua kali itu.
Dengan
mata memandang lantai dan langkah selambat kura-kura, Nina memasuki bilik si
Tuan Adrian yang serba biru itu. Dia bagaikan berdepan dengan Maharaja China
yang tidak boleh dipandang wajahnya.
“Kau
ada masa lapang?” pertanyaan Adrian yang bernada selamba itu membuatkan Nina
mendongak. Lelaki itu tidak sekilas pun memandang ke arahnya. Matanya terarah
pada halaman buku tebal di tangannya sambil duduk bersantai di sofa. Aik, apa
hal tiba-tiba tanya soalan ala-ala mengorat ni? Kebingungan Nina membuatkan dia
mengambil masa lama untuk menjawab soalan itu.
“Tak
ada, Tuan,”
“Patutlah.
Kalau kau ada masa lapang cuba-cubalah korek telinga tu. Untuk pengetahuan kau
aku dah dua kali cakap masuk. Kali kedua baru kau dengar. Aku tak boleh jerit-jerit
sekarang ni tekak aku sakit,”kini matanya terarah pada Nina yang memandangnya
dengan mata terkebil-kebil.
Ini
sindiran atau bebelan? Bila pula dia suruh masuk dua kali. Aku dengar cuma
sekali. Nina bingung lagi. Dia cuba mengingat lagi kalau-kalau dia ada
terdengar sayup-sayup suara arahan lelaki itu sebelum dia menjerit tadi. Dia
pasti yang dia tak dengar apa-apa. Mungkin dia suruh masuk dalam hati je kot,
Nina mengandaikan.
Adrian
rasa seperti dia pernah bertemu dengan perempuan yang sedang berdiri itu. Tapi
dia tidak dapat mengingat di mana dan siapakah dia. Wajah itu ditatapnya lebih
lama. Dia tak dapat mengingat dengan lebih terperinci hanya samar-samar.
“Maaf,
tuan. Saya betul-betul tak dengar. Ini air halia. Nyonya Maria minta Mak Nah
buatkan untuk tuan. Katanya untuk sembuhkan selsema,” Nina mengatur bicaranya
dengan kemas tapi dengan wajah menunduk penuh hormat. Melihat perubahan wajah
Adrian tadi membuatkan hatinya cemas. Jangan-jangan dia sudah tahu siapa dia
sebenarnya.
“Air
halia? Letak saja di atas meja,” arah Adrian. Matanya tidak lagi meneliti wajah
gadis bermuka bujur sirih itu. Tetapi dia sedang berfikir. Masih berusaha
mengingat siapa gadis itu.
Nina
segera meletakkan gelas berisi air halia itu dan berniat untuk meninggalkan
bilik itu dengan kadar segera. Namun niatnya terhenti kerana Adrian mula
bertanya soalan yang menambahkan kegilaan debaran jantungnya.
“Tunggu
dulu. Siapa nama kau?”
Nina
serba salah untuk memberitahu hal sebenarnya. Takut Adrian akan mengingatinya
dan temu duga lalu. “Emm… Na,” jawabnya sayup-sayup macam menelan semula apa
yang disebutnya. Cuma ‘Na’ di bahagian akhir yang jelas kedengaran.
“Nama
sendiri pun tak tahu nak sebut ke? Cakap jelas sikit,” pinta Adrian tegas.
Sekarang
apa? “Panggil saya Nana tuan,” Nina mencipta nama yang dekat dengan namanya
tapi masih berbeza.
“Hmm..
Typical name. Tak payah hantar
makanan ke bilik. Aku akan turun sendiri. Aku ada kaki. Lagi satu tukar cadar
tilam lepas ni,” Adrian mengarahkan. Nina lega sedikit kerana lelaki itu tidak
lagi merenungnya semacam mahupun berfikir dalam. Lelaki itu kembali kepada buku
tebalnya yang terbiar sebentar tadi.
“Baiklah,
tuan,” Nina mengundur diri kemudian menutup pintu di belakangnya.
Sebaik
sahaja dia pasti yang dia berada cukup jauh dari bilik si Adrian itu dia
mendengus kuat, meluahkan rasa hatinya. Menyampah, tak puas hati,geram. Hari
ini dia lebih mengenali pengurus besar Indah Bumi Corporation itu. Selain
sombong dan cerewet, dia juga bermulut laser. Cakap tak bertapis. Main
lepas saja.
“Kalau
ada masa cuba-cubalah korek telinga tu,” Nina mengajuk kata-kata Adrian yang
menyakitkan hatinya.
Tapi
dalam geram-geram begitu dia masih bersyukur kerana lelaki itu sudah tidak
mengingatinya lagi. Nasib baiklah muka aku tak macam Maya Karin ke, Lisa
Surihani ke, kalau tidak gerenti dah kena tangkap basah, Nina bermonolog sambil
ketawa kecil.
Namun
ketawanya lantas terhenti ketika mendengar pintu bilik di tingkat atas ditutup.
Arahan Adrian kembali mengetuk fikirannya. Dia mengatur langkahnya pantas
menuju ke bilik dobi dan mencari-cari cadar untuk menggantikan cadar di bilik
Adrian. Kalau dilambat-lambatkan lagi, ada juga yang kena menahan hati karang.
Pantas
Nina bergerak semula ke tingkat atas. Dia melihat lelaki itu kini sedang duduk
di ruang tamu sambil menonton televisyen. Dia melangkah cermat memasuki bilik
lelaki itu tanpa banyak bunyi. Dia malas mahu berdepan dengan lelaki itu lagi. Setelah
menyiapakan kerjanya, dia menghilangkan diri semula di tingkat bawah. Sengaja
dia menyibukkan diri membuat pelbagai kerja rumah untuk melarikan diri dari
menjadi mangsa si Adrian lagi.
Menjelang
jam 1.00 petang, barulah kelibat lelaki itu kelihatan di tingkat bawah. Nama
Mak Nah kedengaran dilaung-laungkankan mengarahkan makanan disediakan. Waktu
itu Nina duduk di tepi kolam renang setelah membersihkan kawasan sekitarnya.
Dia sengaja berlama-lama di situ. Kesian Mak Nah, desisnya sambil tersenyum.
Nasib
yang baik tidak kekal selamanya. Beberapa lama kemudian, namanya pula
dilaung-laungkan. Agak pelik juga Nina mendengar nama rekaannya dilaungkan.
“Nana!”
Tanpa
berlengah-lengah, Nina mengatur langkah seribu ke tingkat atas untuk bersua
muka dengan jejaka bernama Adrian itu.
“Ya,
tuan?” tanya Nina sopan ketika memasuki bilik si lelaki itu.
“Ini
apa?” jari telunjuk si lelaki menunjuk kearah tilam.
“Katil,
tuan,”
“Bukan.
Aku maksudkan cadar ni. Kau rasa sesuai tak untuk aku?” tanyanya lagi. Sukar
menafsir niat sebenarnya soalan itu kalau hanya mendengar pada nada suaranya.
Tapi Nina tidak lurus bendul, dia tahu makna di sebalik pertanyaan itu. Apa
lagi kalau bukan sindiran.
“Kalau
tuan tak suka, saya tukar yang lain,” Nina bersuara kesal. Nampaknya dia perlu
tahu yang lelaki ini cukup maskulin untuk tidur di atas tilam yang bercadar
corak bunga-bunga warna hitam putih. Sangkanya asalkan warna hitam atau putih
tak ada masalah.
“
Tahu pun. Bagus. Sekarang tukar. Aku nak tidur,”
Mahu
tak mahu, Nina relakan kakinya turun naik semata-mata untuk menukar cadar si BlackNwhite itu. Dia tak faham apa yang
tak kenanya dengan cadar bunga-bunga kerana baginya asalkan ada cadar sudah
okay. Dasar cerewet! Dengusnya dalam hati.
Baru
sahaja Nina mahu melangkah ke tingkat bawah sebaik sahaja dia menukar cadar,
namanya dipanggil lagi. Apa pula lagi ni, dia merungut sendirian.
“Mood
aku tak baik sekarang ni, jadi aku tak suka tengok warna-warna yang terang,”
Nina
memandang kain cadar yang baru ditukarnya tadi. Tak ada masalah. Warna biru
terang bercorak abstrak. Dadanya dirasakan panas. Dengan susah payahnya dia
mencari cadar ini tadi, sekarang nak tukar lagi. Memang nak kena mamat ni,
fikirnya.
“Saya
akan tukar lagi, tuan,”
Nina
mengetap bibirnya ketika meninggalkan bilik itu. Dia turun semula ke bilik dobi
dan mencari cadar hitam putih bercorak minima. Kalau boleh biarlah langsung
tidak bercorak. Panas hatinya melayan karenah si Adrian. Dasar BlackNwhite, bebelnya.
“Aik,
Mak Nah tengok dah tiga kali kau turun naik membawa cadar ni. Apa hal?” tegur
Mak Nah yang hairan melihat Nina dari tadi sibuk menyelongkar bilik dobi.
“Tuan
kesayangan Mak Nah tulah. Cerewet sangat. Nak ini lah, tak nak itulah. Orang
dah dua kali tukar cadar. Adakah patut dia nak tukar lagi. Bukan hal besar pun.
Cadar je,” Nina meluahkan rasa yang terbuku sejak tadi. Dia sendiri tidak dapat
menahan lagi sakit hatinya.
“Shh..
Jangan cakap kuat sangat. Kamu juga yang susah nanti kalau dia dengar,”
Mereka
berdua memandang sekeliling. Tiada bayangan siapa-siapa yang kelihatan.
“Saya
tak tahan lah nak berdepan dia, Mak Nah. Apa kata Mak Nah yang pergi layan dia?”
Nina buat muka seposen, memohon simpati dari Mak Nah.
“Jangan
macam tu. Kamu sabar je. Dia memang macam tu. Mak Nah tahu benar perangainya
tu. Kamu buat je apa yang dia suruh. Dah, cepat pergi tukar cadar tu,” Mak Nah
tidak menyebelahi sesiapa. Dan memilih untuk menjadi pengantara.
Nina
menarik nafas kemudian meneruskan kerjanya. Ketika dia membuka pintu bilik Tuan
Adrian itu, dia melihat lelaki itu sudah terlelap di sofa panjang. Lega
hatinya. sekurang-kurangnya tak payahlah dia mendengar bebelan lelaki itu
semasa membuat kerja.
Dengan
pantas dan senyap, Nina menukar cadar untuk kesekian kalinya. Kali ini dia
sudah bersedia dengan alasan yang bernas kalau sekiranya lelaki cerewet itu
masih tidak berpuas hati dengan cadar yang ditukar. Siap saja kerjanya, bilik
itu ditinggalkan penuh kelegaan.
“Hai,
Kak Nina,” suara ceria Erika yang baru pulang sekolah menyapa Nina.
Nina
menoleh ke arah tangga. Tugasnya yang seterusnya menanti. Si abang sudah siap dilayan.
Kini giliran si adik pula. Dia tersenyum hambar.
***
Nina memanjatkan kesyukuran yang tak
terhingga. Sepanjang petang itu, tidak langsung kedengaran si BlackNwhite
melaung-laung namanya seperti pagi tadi. Nampaknya selsema yang dihidapinya
membuatkan dia pengsan sepanjang petang. Dan itu merupakan perkara yang
menggembirakan untuk Nina. Pertama, sebab dia tak perlu berdepan dengan si
BlackNwhite. Kedua, sebab penipuannya tentang nama sebenarnya masih berguna
untuk esok dan kemungkinan untuk hari-hari seterusnya.
Setelah
mengucapkan selamat tinggal kepada Mak Nah dan Erika, Nina berjalan kaki kira-kira
500 meter menuju ke perhentian bas seperti biasa. Ketika itu awan kelihatan
sudah sangat berat dan tinggal menunggu waktu untuk mencurah isinya ke bumi.
Tapi dia tidak perlu risau kerana dia sudah menyediakan payung.
Ketika
dia menghampiri selekoh terakhir sebelum tiba ke destinasi sementaranya, sebuah
kereta Ferrari merah yang dikenali lalu. Si pemandu memandangnya dan kereta itu
berhenti. Nina dilanda rasa cemas. Jangan-jangan, si tuan punya kereta itu ada
urusan dengannya. Dia berdiri lurus
sambil memerhatikan Mikhail setelah cermin kereta diturunkan. Namun hatinya
sedikit terhibur apabila melihat senyuman dilemparkan oleh si berwajah tampan
itu.
“Dah
nak balik?”
“Ya,
tuan,” jawab Nina sambil membalas senyuman Mikhail. Mesra pula si tuan yang
satu ini, fikir Nina.
“Hujan
dah nak turun ni. Mari saya hantarkan,”
Nina
seakan tidak mempercayai telinganya. Biar betul si jejaka berkereta mewah itu
mempelawanya begitu. Nina terkaku, tidak tahu mahu berkata apa kerana dia
sungguh-sungguh tidak percaya itu sedang terjadi.
“Nina?”
tegur Mikhail yang hairan dengan tindak balas Nina. Wajah wanita muda itu
ditatapnya untuk mencari jawapan.
“Eh,
tak apalah tuan. Rumah saya dekat saja dari sini. Lagipun bas banyak
petang-petang begini. Tapi, terima kasihlah sebab sudi mempelawa,” Nina
menjelaskan alasannya. Dia terpaksa menolak pelawaan itu kerana dia tahu
statusnya. Dia hanya pembantu rumah, takkan balik dihantar oleh tuan rumah.
Dengan kereta mewah pula tu.
“Betul
ke ni?” Mikhail meminta kepastian.
“Ya,
tuan. Terima kasih banyak ya,” Nina berbahasa kemudian memberikan senyuman
manis sebagai tanda penghargaannya.
“Okaylah.
Hati-hati ya,”
Nina
mengangguk. Cermin kereta ditutup kembali dan kereta memecut menyelusur jalan.
Nina menarik nafas sedalam-dalamnya. Rupanya orang kaya tidaklah seteruk mana.
Memang benar ada juga orang kaya yang baik macam tuan Mikhail. Baik hati dan
tidak memandang rendah orang seperti dirinya. Dia tersenyum membawa langkahnya
menyeberangi jalan raya yang semakin sibuk. Hari ini dia belajar banyak
perkara. Yang paling penting, belajar untuk bersabar!