Friday, May 25, 2012

Indah Pada Waktunya

Bosan. Stress. Penat! Alangkah bagusnya kalau aku tak perlu bersusah payah belajar? Hannah merungut panjang. Rungutan-rungutan sebegitu sememangnya sudah sinonim dengan dirinya. Kawan-kawannya sudah kebal dengan keluhan-keluhannya yang seperti tiada titik noktah.
 Di atas meja, masih ada beberapa assignment yang belum disiapkan, tapi dia memilih untuk berbaring sekejap di atas katil, melepaskan kepenatan yang membelenggu sejak beberapa jam yang lalu. Hanya dalam beberapa ketika sahaja, pandangan Hannah menjadi gelap. Sememangnya, tidak susah untuk tidur dalam keadaan sebegitu.
Deringan jam loceng mengejutkan Hannah dari tidur yang panjang. Dia membuka matanya lemah. Sejak bila aku ada jam loceng ni? Dia bingung seketika. Perlahan-lahan dia mencapai jam di sebelah katilnya dan mematikan bunyi nyaring itu.
Hannah memandang sekelilingnya dengan cemas. Semalam, jelas dalam ingatannya, dia berada di bilik asrama. Bagaimana dia boleh berada di sebuah bilik yang berona ungu muda pagi itu? Dia terlihat gambar kecil di sebelah jam loceng. Hairan. Itu gambarnya sendiri. Dia berjubah graduan dengan segulung sijil dalam tangannya.  Tak mungkin. Dia mengambil frame gambar itu lalu mengamat-amatinya. Memang dirinya.
Mimpi. Perkataan pertama yang menjelma dalam fikiran. Dia mencuit lengannya, Sakit. Tiada apa-apa yang berlaku. Dia masih dalam keadaannya yang semula. Adakah ini reality? Baru semalam dia berusaha bermati-matian menyiapkan assignment. Sekarang dia berada di alam yang luar dari pengetahuan ceteknya.
 Hannah bangun dari tilam empuk kemudian menghadap cermin. Kulitnya cerah kemerahan dan rambutnya panjang separas bahu. Memang dia benar-benar ‘wujud’. Matanya terlihat kalender di atas meja solek.
9 February 2018
Hannah menggosok-gosok matanya. Ini benar-benar mimpi. Dia masih ingat tarikh semalam. 8 February 2010. Hanya dalam masa satu malam sahaja lapan tahun sudah berlalu? Ah, mustahil. Ini mesti mimpi. Pasti.
            “Hannah bangun! Kau dah lambat nak pergi pejabat ni,” satu suara yang hampir dikenalinya menjerit dari luar bilik.
Pejabat? Hannah kebingungan lalu menuju ke pintu mencari pemilik suara yang memanggilnya tadi. Dia membuka daun pintu.
            “Sheila!”
            “Kenapa? Kau sakit?” Sheila bertanya cemas sejurus mendengar Hannah memanggilnya separa menjerit.
            Hannah tidak menjawab tetapi terus memeluk Sheila. Dia gembira kerana ternyata dia tidak berseorangan berdepan dengan suasana pelik yang dialaminya sekarang. Sekurang-kurangnya dia ada Sheila, kawan baiknya di sisi saat itu.
            “Eh, kau ni kenapa? Cepat pergi bersiap. Aku dah nak jalan ni,” Sheila langsung tidak memberi respon yang diharapkan Hannah, malah kelihatan seperti sudah biasa dengan keadaan begitu. Sheila kelihatan matang, berseluar slack dan berbaju kemeja biru muda.
            “Kau nak pergi mana?” Hannah bertanya bingung.
            “Nak pergi kerjalah, mak cik. Nak pergi mana lagi. Kau ni mengingau agaknya. Macam orang hilang ingatan,” Sheila membebel pula, membuat Hannah terdiam lagi. Hilang Ingatan?
            Dia berhenti berfikir. Adakah aku berada di masa hadapan? Adakah Tuhan mempermudahkan hidupku dan membuatku tiba di masa depan dengan begini cepat? Hannah bertanya pada dirinya sendirian. Tiba-tiba dia ketawa besar, Ini sesuatu yang baik! Dia menari-nari kegembiraan. Dia tidak perlu lagi bersusah payah menyiapkan assignment ataupun membuat presentation. Tiada lagi kelas-kelas membosankan yang perlu dihadiri. Tiada lagi ujian ataupun kuiz yang membuatnya tertekan. Apa yang paling penting dia tidak perlu lagi menghadapi peperiksaan untuk mencapai cita-citanya. Dia sudah mengecapinya saat itu juga!
            “Yes!! Akulah manusia paling bahagia di dunia!!,” Hannah menjerit sekuatnya.
            “Memang sah kes angau. Aku tahulah kau dah nak kahwin. Tak payahlah nak over tunjuk kegembiraan tu depan orang. Cepat pergi bersiap. Dah lambat sangat ni,” Sheila menyambung leterannya sambil berlalu ke ruang tamu.
            Hannah berlari anak ke dalam biliknya. Wajahnya bercahaya kegembiraan. Tuhan sudah pun menjawab doanya. Dia tidak lagi perlu bersusah-susah untuk masa depannya. Dia sudah berada di masa depan. Tapi tunggu dulu, dia akan berkahwin. Siapakah lelaki yang bakal dikahwininya itu? Ah, lupakan dulu, Hannah mengingatkan dirinya. Dia cepat-cepat bersiap. Mandi dan berdandan. Kegembiraannya berganda apabila melihat koleksi pakaiannya dalam almari. Tepat seperti yang diimpikannya sebagai pelajar. Dia ada pekerjaan, rumah dan tidak lama lagi akan berkahwin. Hidup yang hampir sempurna, seperti dalam impiannya. Hannah tersenyum puas. Selesai semuanya, dia keluar menemui Sheila yang sudah berada di luar rumah.
            “Kau kata tadi, aku dah nak kahwin. Aku akan kahwin dengan siapa?” Hannah bertanya lurus kepada Sheila yang sedang memandu kereta.
            “Eh, kau ni sengaja nak main teka-teki calon suami ke dengan aku? Tahulah aku ni masih bujang. Tak payahlah nak kenakan aku pula. Oh ya, aku tak habis lagi bagi kad jemputan kahwin kau tu. Ada dalam laci,” Sheila terus membebel panjang. Perangai ringan mulutnya masih kekal walaupun selepas lapan tahun.
            Hannah membuka laci kereta. Bagai  tiada kesabaran dia membuka sampul kad jemputan berwarna ungu muda, warna kegemarannya.

Hannah & Arman

Arman? Adakah ini satu lagi mimpi? Hannah terlopong. Sukar untuk dipercayai. Aku akan kahwin dengan Arman. Dia ketawa besar lagi.  Tapi bagaimana?
Kembali pada masa lapan tahun yang lalu di university. Arman merupakan seorang lelaki yang tidak  dapat dinafikan daya penariknya. Dia tidaklah sekacak Mr. Universe ataupun se’cool’ pelakon Korea yang menjadi kegilaan ramai, tapi renungan matanya sudah cukup untuk meleburkan hati mana-mana gadis biasa, termasuklah Hannah. Tubuhnya yang tinggi dan tegap sudah cukup menampakkan kelelakiannya. Tapi yang hairannya pada ketika itu, Arman seolah-olah tidak pernah menyedari kehadiran Hannah. Sedangkan Hannah sering memperhatikannya dari jauh. Bagaimanakah mereka berjumpa dan akhirnya jatuh cinta? Hannah tertanya-tanya. Dia ingin tahu sekali apa yang membuat Arman menyukainya. Dia ingin berjumpa dengan Arman, mendengar luahan dari mulut lelaki itu sendiri.

14 February 2018
Dia akan berkahwin pada minggu depan? Tepat pada tarikh hari Valentine. Satu lagi kejutan untuk Hannah. Dia menelan air liurnya. Apa yang pasti, dia masih belum bersedia walaupun si jejaka itu adalah pujaan hatinya.
            “Tunggu apalagi. Keluarlah. Kita dah sampai ni,” suara Sheila membangunkan Hannah dari khayalannya. Hannah cepat-cepat memandang sekelilingnya. Dia melihat bangunan empat tingkat yang tersergam megah di depannya. Inikah pejabat tempatnya bekerja? Boleh tahan. Hannah keluar dari perut kereta sambil memandang bangunan di depannya dengan mata tidak berkelip.
            Hannah membuntuti Sheila menuju ke bangunan itu. Dia agak gementar. Hari ini boleh dianggap hari pertamanya bekerja di syarikat itu. Apa agaknya pekerjaannya di sana? Bagaimana dia boleh bekerja di sana?
            Mereka memasuki lif. Beberapa orang turut berada di dalam lif yang sama.
            ‘Selamat pagi, Hannah, Sheila,” seorang lelaki muda berwajah jambu menegur mereka dengan senyuman mesra.
            “Selamat pagi,” jawab Hannah masih kebingungan. Dia serba-salah kerana tidak mengenali lelaki itu.
            Lif berhenti di aras dua. Sheila keluar. Hannah cepat-cepat mengikutnya.
            “Kau ada urusan ke? Pejabat kau kan di aras empat,” Sheila kelihatan hairan melihat Hannah.
            “Oh. Emm.. Aku terlupa,” Hannah cepat-cepat menutup silapnya yang langsung dia tidak ketahui. Dia sudah menimbulkan kekeliruan di wajah teman baiknya itu beberapa kali hari itu.  
            “Peliklah kau hari ni. Dahlah, aku masuk dulu,” Sheila menghilang di sebalik pintu.
            Hannah cepat-cepat berlari menuju ke lif. Tidak lama kemudian lif terbuka. Seorang lelaki Cina dalam lingkungan usia separuh abad berada di dalam lif. Hannah hanya tersenyum memandang lelaki itu lalu memasuki lif. Apa sebenarnya pekerjaannya di syarikat itu? Tahukah dia membuat kerja-kerja itu nanti. Fikirannya benar-benar kosong ketika itu. Apa yang dia tahu hanyalah setakat apa yang dipelajarinya dalam diploma semester lima.
            “Hannah, have you prepared the invitation letters to our clients?”
            Hannah hampir melata mendengar suara dingin yang datang mengejut dari lelaki yang berada di depannya.
            “Huh?” dia bingung. Otaknya benar-benar kosong ketika itu. Hendak menipu, tapi tak tahu apa yang nak ditipu.
            “I told you to prepare the letters yesterday. You should have complete it by today,” tegas suara lelaki itu, membuat Hannah pucat kegusaran.
            “I try to prepare it, Sir,” Hannah bersuara satu-satu. Rupanya lelaki tu majikannya. Mesti lelaki itu hairan kenapa dia seperti tidak mengenalinya.
            “No. You must finish it today,” tegas si bos  sebelum keluar dari lif dengan langkah berkeyakinan.
            Hannah menelan air liurnya. Adakah dia sudah bersedia untuk berkerja dengan orang-orang seperti lelaki tadi yang sebenarnya sudah pun menjadi bosnya? Dia gentar. Dia risau. Hannah menapak perlahan-lahan menuju kearah yang dilalui bosnya tadi. Tidak lama kemudian tiba di depan sebuah bilik yang tertulis CEO Huan & Friends Engineering. Di sebelah terdapat meja yang terdapat papan nama yang bertulis perkataan ‘Secretary’. Dia menghampiri meja itu. Sebuah frame gambar terletak di atas meja. Gambarnya dengan Arman. Hannah tersenyum. Aku nak jumpa kau, Arman, bisiknya.
            “Hannah, what’s my schedule today?” suara dingin dan keras menerjah telinganya lagi. Kali ini, majikannya itu sedang berdiri di muka pintu.
            “I.. will find it out, Sir,”
            “I want it now,” pintu dihempas, membuat debaran di jantung Hannah bertambah kencang. Beginikah suasana kerjanya sekarang? Entah bagaimana dia boleh bertahan berkerja di sana.
            Hannah dimarah teruk pagi itu, padahal dia langsung tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Walau macam manapun dia berusaha, dia tidak akan dapat menyiapkan tugas-tugas yang diarahkan bosnya. Pengetahuan yang dimilikinya masih sangat dangkal untuk memahami apa yang diinginkan oleh si majikan. Mahu saja dia memaki hamun si bos yang bengis, tapi dia tidak  mampu. Mengeluh saja pun dia tidak berani.
            Sheila, di manakah kau? Aku perlukan teman. Aku nak lari dari sini, jauh dari pejabat dan bos serupa singa jantan ini. Tolong aku! Air mata hampir menitis dari matanya. Buat pertama kalinya dalam hidup dia merasa hilang dan tidak selamat. Dia keliru dengan semua yang terjadi secara mendadak dalam pada hari itu.
            “Hannah! Why are you still dreaming! Bring me the document that I asked you to find,” teriakan majikannya, membuat Hannah hampir terlompat, terkejut. Tubuhnya menjadi sejuk serta-merta.
            “I don’t know…” dia melepas panjang sebaik bosnya menghilang dari pandangan.
            Hannah meletakkan kepalanya di atas meja. Dia berserah. Dirinya tidak mampu lagi memikul beban pekerjaan yang belum sampai pada tahap pengetahuannya. Dia lebih rela mempuat sepuluh assignment dalam sehari berbanding bertahan sepuluh lagi minit disitu.
            Arman? Di manakah pula lelaki itu di saat seperti itu? Bukankah sepatutnya dia muncul sebagai hero pada saat-saat begini? Ah, tak guna. Hannah mengeluh. 
            Hannah tidak dapat lagi menahan perasaannya. Dia tidak mahu terus duduk di sana. Dia mahu pergi. Akhirnya, Hannah mengumpul kekuatan untuk meninggalkan tempat itu. Dia berlari menuju ke lif dan pergi meninggalkan bangunan itu tanpa arah yang pasti. Dia berlari mengikut nalurinya yang penting jauh. Jauh dari bangunan itu, jauh dari bergelar pekerja di sana. Kalau beginilah alam pekerjaan yang sebenarnya, dia masih belum bersedia. Dia tidak rela bekerja sekarang. 
Demikian juga halnya dengan Arman. Dia langsung tidak memahami siapa diri lelaki ini sebenarnya. Tahu-tahu saja mereka sudah nak kahwin.  Dia tidak tahu bagaimana mereka boleh bercinta. Dia ingin tahu kisah di antara mereka. Terlalu banyak tanda soal yang perlu dijawab.
Hannah akhirnya berhenti di bawah sebatang pokok yang rendang. Dia terduduk lemah. Angin bertiup sepoi-sepoi menerpa wajahnya. Hatinya yang pedih dan keliru membuat dia membiarkan saja aliran air mata membasahi pipinya. Dia cuba mengenangi setiap peristiwa hari itu. Semuanya bukan seperti yang dia selalu angankan. Tidak seindah yang dia bayangkan. Dia perlukan lebih masa untuk bersedia. Dia mahu menghayati satu-persatu detik yang berlaku dalam hidupnya. Berada di masa depan bukanlah satu perkara yang mudah tanpa melalui setiap perkara yang akan terjadi. Sekarang, dia bagaikan seorang yang baru dilahirkan di masa depan. Dia perlu belajar lagi untuk menguasai semuanya.

            “Tuhan, aku nak kembali kepada hidupku yang normal. Aku rela menyiapkan segala assignment dan menghadiri semua kelas. Aku mahu kembali,” Hannah berdoa terus menerus sebelum akhirnya dia terlelap dalam air mata, di bawah pohon rendang itu.
            Cahaya terang menyinari segenap ruang, sehingga membuat mata Hannah yang tertutup kesilauan. Gadis itu bergerak sedikit, dia membuka matanya perlahan. Hannah memandang sekeliling yang masih lagi kabur dalam pandangannya. Warna putih. Dia menggosok matanya beberapa kali dan membawa tubuhnya bangun. Dia menoleh ke sebelah. Sheila masih tertidur nyeyak di katil sebelah. Komputer ribanya berada di sebelahnya, di atas katil. Ya, dia berada di bilik asrama semula! Dia sudah kembali kepada hidupnya. Dia berlari mendapatkan kalender di atas meja.
9 February 2010.
Dia sudah kembali. Hannah melompat kegembiraan, mensyukuri keadaan dirinya saat itu walaupun assignment masih berlonggok menanti giliran untuk disiapkan. Kali ini, dia ingin menikmati setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya, tidak kira baik atau buruk, senang ataupun susah. Selama ini, dia terlalu memikirkan masa depan yang tidak pasti sehingga tidak pun mencuba untuk menikmati setiap hari yang dilaluinya dengan penuh kesyukuran. Sebaliknya, dia lebih suka mengeluh dan merungut seolah-olah hidupnya itu hanya dipenuhi kesusahan dan kesengsaraan. Untuk segala perkara yang terjadi dalam hidup, ada waktunya. Sekarang waktunya dia menuntut ilmu sebanyak yang mungkin dan bergaul baik dengan semua orang. Apa yang penting, dia perlu menikmati setiap perkara yang dihadapinya sekarang. Hannah menginsafi dirinya. Sungguh, segala yang berlaku indah pada waktunya.  
  
Thursday, May 24, 2012

Cerita Hati (Pengenalan)

Ada satu hal di dunia ini yang tidak akan pernah berubah. Hal ini melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita. Apa yang dimaksudkan disini bukanlah hubungan di antara seorang bapa dengan seorang anak perempuan atau seorang abang kepada seorang adik atau seorang kakak kepada adik dan bukan juga tentang persahabatan antara seorang lelaki dan wanita. Ini sesuatu yang lebih daripada semua itu. Lebih mendalam. Lebih peribadi.
                Cinta.
Sepatah perkataan ini sudah biasa didengar, dilihat mahupun dibaca. Apa tidaknya kisah dalam novel, cerita filem, dan senikata lagu-lagu semuanya mengangung-agungkannya bagaikan tiada hal lain yang lebih penting di seluruh jagat raya ini. Cinta dikatakan boleh mematahkan, menghiris, meremukkan, menghancurkan dan meleburkan hati seseorang. Benarkah cinta begitu hebatnya?
Inilah kisah hidupku.  Seseorang yang belum pernah merasakan apa yang dipanggil “Cinta Antara  Lelaki dan Wanita”. Seseorang yang masih tidak mengerti mengapa seluruh umat manusia mengagungkan perkataan ini. Seseorang yang tidak pernah bercinta dan seseorang yang menganggap cinta hanya merupakan sebuah mitos sepanjang zaman.

Si Pencinta Haiwan

Ada satu hal di dunia yang sangat kumengerti. Kasih sayang terhadap haiwan.
                Aku seorang veterinar. Setiap hari aku bertemu dengan mereka. Ada yang berkaki dua, ada yang berkaki empat. Ada yang besar, ada yang kecil. Macam manusia juga, banyak ragamnya. Ada yang penurut dan mudah diurus, ada pula yang garang tak bertempat. Semuanya kuhadapi dengan senyuman saja. Kan senang.
                “Dr. Kia!” satu jeritan yang mengejutakan menerjah gegendang telingaku.
                Pintu bilikku dikuak tanpa diketuk terlebih dahulu. Sejurus itu, kulihat Cika atau nama sebenarnya Kartika binti Seman, pembantu klinikku tergesa-gesa memasuki bilik. Aku mulai cemas. Entah-entah ada perkara yang buruk telah berlaku! Minta dijauhkan!
                “Kenapa Cika?” aku merespon secara automatic.
                Cika kulihat sedang mengawal pernafasannya sebelum menjawab pertanyaanku. Matanya terkebil-kebil sambil tangan kananya di atas dada yang sedang turun naik. Aku membiarkannya bertenang dulu. Nanti kalau didesak, dia pula yang pengsan. Aku sedia maklum, si Cika ni seorang yang over acting sikit. Perkara remeh boleh jadi gempar.
                “Pesakit..” Cika masih termengah-mengah.
                “Kenapa?” aku makin ingin tahu.
                “Sangat handsome!” luah Cika pada akhirnya sambil senyum-senyum gatal.
                Buang tenaga aku saja, fikirku. Ingatkan ada yang serius tadi, rupanya Cika sekadar memberitahuku tentang rupa paras seorang pesakit atau lebih tepat tuan kepada ‘pesakit’ kami. Ceh, tak berfaedah langsung!
                “Lain kali, kalau sekadar nak bawa berita picisan macam ni tak payahlah tunjuk muka emergency macam ni,” bentakku terus terang. Memang aku sudah biasa dengan pembantu ini. Kalau tak biasa tak kan dia berani buat drama depan aku pula. Nasib baiklah aku ni seorang yang bertimbang rasa. Kalau tidak, ada juga yang pulang menangis hari ni.
                “Ini bukan cerita picisan, Dr. Kia. Lelaki ni betul-betul kacak. Tak pernah aku jumpa lelaki sekacak dia depan mata aku,” Cika berceritera. Aku menghembus nafaskku dalam. Kacaklah sangat. Bukan boleh dibuat makanan atau pakaian pun.
                “Apa yang si “Kacak” kau tu buat disini? Modelling ke?” aku menyindir. Malas aku melayan terus keterujaan si Cika tu. Makin dilayan, makin menjadi.
                “Kucing dia sakit. Katanya dah dua hari tak nak makan,”
                Perbualan ini baru kurasakan berfaedah. Tanpa banyak soal, aku mengangkat kaki menuju ke bilik rawatan. Cika mengekori ku, bersedia untuk membantu.
                Bilik rawatan yang hanya terletak di sebelah bilik pejabatku kumasuki dengan langkah berkeyakinan. Mataku mengimbas seluruh ruangan bilik. Di deretan kerusi plastic di tepi dinding, seorang lelaki sedang memandangku. Seekor kucing siam terkulai lemah dalam pangkuannya. Mataku cuba mencari bukti kebenaran kata-kata Cika tadi.

                Boleh tahan. Keningnya tebal dan hitam. Itulah yang paling menonjol. Kulitnya kuning langsat tapi taklah terlalu halus. Tubuhnya tinggi dan ada bentuk. Menurut pandangan mata wanita, lelaki sebeginilah yang wajar menjadi pujaan dan ideal untuk dijadikan pasangan. Mengapa? Kerana rupanya sahaja? Macam mana kalau dia seorang penjenayah? Penjahat? Adakah dia masih lagi seorang calon suami yang ideal? Ah, omong kosong!
                “Encik boleh bawa kucing encik tu di atas meja ni,” aku mengarahkan dengan lagak konvensional. Aku dapat merasakan yang Cika sedang tersenyum-senyum mencuri pandang wajah si jejaka itu.
                Lelaki itu berhati-hati membawa kucingnya dan meletakkan di atas meja rawatan. Aku sudah lama menyarungkan sarung tangan getah pada tanganku. Perlahan-lahan aku memeriksa si kucing malang ini. Bulunya haiwan ini berkilat dan bersih. Telinga, kuku dan hidungnya juga sama. Langsung tiada tanda-tanda masalah kutu atau jangkitan kulit.
                “Encik pernah berikan suntikkan vaksin pada dia?” aku bertanya sambil terus memeriksa si kucing siam itu. Memang kulihat kucing itu begitu lemah. Untuk berdiri sajapun, dia tidak mampu.
                “Pernah. Setahun lalu,” jawab si Tuan punya kucing pendek.
                “Kucing encik kena diberi suntikkan antibiotic ni. Paru-parunya kena infection,” aku menjelaskan. Kali ini aku menentang matanya. Orang kata, wanita mudah jatuh cinta jika kerap bertentangan dengan mata seorang lelaki. Jadi maksudnya, kalau aku memandang mata lelaki ini lama-lama, aku boleh jatuh cinta. Tapi dalam beberapa saat saja lelaki itu sudah melarikan anak matanya dari memandang aku. Mungkin renungan mataku ini umpama renjatan elektrik yang bervoltan tinggi sampai dia tak tahan berpandangan denganku. 
                  “Doktor buatlah apa yang dirasakan patut. Asalkan kucing saya sembuh,” katanya sambil membelai-belai bulu si kucing ini.
                “Encik jangan risau. Kucing encik akan sembuh. Cika, sediakan suntikkan,”           
                Cika pantas mengerjakan arahan. Dia sudah biasa dengan tugas ini. Sudah cukup layak untuk digelar juru rawat haiwan. Sementara itu, si lelaki terus membelai kucing kesayangnnya dengan penuh kasih sayang.
                “Tahan ya Scot,” ujarnya lembut.
                Pastilah kucing ini bernama Scot.  Macam nama manusia. Aku hanya senyum.
                “Ini doctor,” Cika menghulurkan tray besi yang mengandungi peralatan suntikan. Aku mrngambil picagari dan memasukkan cecair jernih ke dalamnya.
                “Scot, bertahan ya,” Lelaki itu memujuk si kucing. Aku tak tahulah kalau kucing tu faham.
                Perlahan-lahan aku menyuntik ubat ke dalam salur darah Scot. Habis air jernih itu keluar dari jarum picagari, aku menarik keluar. Harap-haraplah kucing ni sembuh.
                Lelaki itu segera mengusap-usap bahagian tubuh kucingnya yang disuntik tadi dengan penuh kasih sayang. Aku terharu, rupanya masih ada orang yang begitu perhatian terhadap haiwan peliharaan mereka. Kebanyakkan manusia pada hari ini tidak peduli pun tentang haiwan yang disekitar mereka. Apa lagi haiwan liar yang berada di hutan. Ada yang hampir pupus menjadi mangsa buruan manusia. Sungguh kejam! Aku tiba-tiba merasa bangga menjadi sebahagian dari komuniti pencinta haiwan. Tidak ramai manusia seperti kami, yang peduli dan kisah tentang haiwan.
                Si lelaki kacak yang dipuja Cika itu segera membawa kucingnya pulang sebaik menerima rawatan.  Aku jarang bertemu denga lelaki yang benar-benar sayangkan haiwan seperti lelaki ini. Dalam diam-diam begini aku sesungguhnya mengaggumi si dia ini. Tapi cukuplah sekadar itu. Tidak usahlah pula diperpanjangkan cerita dengan mempersoalkan hal-hal di dalam hati. Tak ada maknanya pun! 

Wednesday, May 23, 2012

Black & White 4, 5

Bab 4
Matahari sudah lama terbenam. Burung-burung sudah kembali ke sarangnya. Tapi Lena masih belum pulang ke rumah. Jam di dinding sudah menunjuk ke angka 10. Belum ada tanda-tanda kepulangan Lena setelah seharian meninggalkan rumah.
                Nina setia menunggu di ruang tamu ditemani Televisyen. Ibunya baru saja masuk ke bilik tidur setelah dia paksa. Kalau tidak dipasti, pasti ibunya itu masih bersengkang mata menyiapkan jahitan sambil menunggu adik perempuannya itu pulang. Amar pula di dalam bilik, mengulangkaji pelajaran.
                Sesekali Nina mengerling kearah pintu masuk, mengharapkannya dibuka dan adiknya muncul. Tetapi setiap kali dia menoleh, pintu itu masih tetap tertutup. Filem Hindustan yang sedang dimainkan di televisyen, tidak mampu menghibur hatinya ketika itu. Dia asyik terfikirkan keadaan adiknya.
                Semalam, dia menerima panggilan dari Yvone, sahabat baik Lena sejak sekolah rendah. Kata Yvone, Lena sudah banyak berubah. Dia tidak lagi mahu menghabiskan masa bersamanya malah pelajaran Lena sudah semakin merosot. Yvone juga mengatakan yang Lena sudah mula bergaul dengan pelajar-pelajar yang terkenal dengan sifat yang tidak bermoral. Sejak itu, Nina jadi tidak sedap hati, setiap kali Lena keluar rumah, ada rasa tidak senang dalam hatinya. Nina ingin tahu kenapa adiknya jadi begitu, tapi dia tahu tidak mungkin Lena akan buka mulut dan berkongsi cerita dengannya. Dia tahu benar sifat adiknya. Tapi, walau apapun juga, Nina tahu dia perlu menegur sikap adiknya itu kerana itu merupakan salah satu tanggungjawabnya sebagai kakak. Kalau dibiarkan saja, pasti keadaan akan jadi lebih teruk.
                Dalam sibuk otak Nina ligat berfikir, tombol pintu utama kedengarannya dipulas. Nina lantas menoleh dan bersedia menerima kepulangan si adik yang sudah lama dinantikan. Ketika itu jam sudah menunjukkan jam 10 setengah malam.
                Seperti yang dijangkakan, Lena muncul di sebalik pintu. Sebaik sahaja matanya bertembung dengan mata kakaknya di ruang tamu, dia sengaja melarikan pandangannya dan berlagak seolah-olah tiada sesiapa yang wujud di sana. Tiada salam yang diucapkan cuma bunyi tapak kaki yang menapak pantas kedengaran.
                “Lena, kakak ada hal nak cakap dengan kamu sekejap,” Nina mencuba sedaya upayanya untuk berlembut dengan adiknya itu walaupun dalam hati sebenarnya sudah membuak dengan kemarahan.
                Langkah Lena mati seketika. Hanya seketika. Kemudian dia melangkah semula seperti tidak mendengar apa-apa. Perbuatannya itu seperti sengaja menduga kesabaran Nina yang sememangnya sudah lama bersabar dengan si adik.
                “Lena, kau tak ada telingakah atau pekak? Aku kata aku ada hal nak bincang dengan kau. Kau faham tak?” suara Nina sudah meninggi tapi emosinya masih di bawah kawalan.
                Lena mengetap gigi menahan amarah. Tapi dia turutkan juga arahan kakaknya lalu duduk di kusyen yang terletak jauh dari kakaknya. Beg sandangnya diletakkan kasar di atas meja kecil. Dia sengaja melarikan matanya daripada memandang Nina.
                “Cakaplah cepat. Aku penat ni,” kata Lena sambil bersandar pada kusyen dan menutup matanya. Niatnya mahu membuat kakaknya rasa serba salah.
                “Kau dari mana ni? Balik lewat malam,” Nina bertanya baik-baik. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan berbicara kasar terhadap adiknya yang panas baran itu.
                Tiada jawaban, sebaliknya Lena buat-buat tertidur dan tambah membuat kesabaran kakaknya semakin nipis. Nina menarik nafasnya, menahan rasa marah yang mula membara.
                “Kakak dengar pelajaran kau semakin merosot sekarang. Kenapa dengan kau ni Lena? Kau sendiri tahu kan keadaan keluarga kita. Kita bukan orang senang. Kalau Lena belajar elok-elok, Lena juga yang senang nanti,” Nina memulakan seisi syarahannya. Dia memerhatikan riak adikknya dengan teliti. Tiada apa-apa. Lena masih menutup matanya sambil berpeluk tubuh.
                “Kakak tahu kau mesti anggap kakak ni menyibuk urusan hidup kau. Tapi kakak buat macam ni sebab kakak nak yang terbaik untuk kau, Lena. Kakak tak nak kau menyesal nanti. Kakak Cuma nak nasihatkan, janganlah berkawan dengan orang-orang yang bermasalah. Nanti Lena juga yang terima padah nanti,”
                “Kau tak ada hak nak kutuk kawan-kawan aku! Kau tengok diri kau tu siapa. Belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya jadi kuli juga. Kau memang tak sedar diri. Kau tak layak nak nasihatkan aku, kau nasihatkan saja diri kau sendiri!” Lena tiba-tiba membentak keras. Reaksinya yang begitu drastic membuat Nina mati kata. Dia tak sangka adiknya sendiri boleh bercakap begitu tentangnya. Dia rasakan bagai ditampar disebelah menyebelah mukanya.
                Nina tidak dapat membendung rasa marahnya lagi, dia sudah tidak tahan sehingga dia tidak sedar dia sudah menampar pipi kiri adiknya. Lena terkelu sambil meraba pipi kirinya yang terasa kebas akibat tamparan kakaknya. Air mata mula memenuhi matanya.
                “Kau tak guna! Sekali lagi kau campur tangan urusan aku, aku akan pergi dari rumah ni. Kau tengoklah sendiri!” Lena menjerit lalu berlari ke bilik tidurnya.
                Puan Intan dan Amar bergegas keluar dari bilik masing-masing dengan cemas akibat terdengar suara nyaring Lena. Perhatian mereka tertumpu kepada pintu bilik tengah yang dihempas kemudian kea rah Nina yang kaku berdiri di ruang tamu dengan dada yang turun naik. Dia tak sengaja menyakitkan adiknya. Dia tidak berniat pun. Tapi semuanya sudahpun berlaku. Tiada apa lagi yang mampu dia katakan.
                “Nina tak sengaja,mak,”
                Puan Intan segera memeluk anak sulungnya itu untuk menenangkannya.
                “Tak apa, nak. Tak apa. Mak faham,”
Amar sekadar menjadi pemerhati. Ada rasa sendu di hatinya melihat keadaan keluarganya begitu. Namun apakan dayanya. Dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk merubah keadaan itu.      
Bab 5

Adrian Aziz Rahman, Pengurus Besar Syarikat Indah Bumi Corporation menumpukan sepenuh perhatiannya kepada wakil dari Syarikat KM Architecture yang sedang membuat pembentangan. Dia bukan sahaja tertarik dengan reka bentuk rumah teres bertingkat tiga yang diusulkan untuk projek perumahan terbaru syarikatnya, tetapi juga kepada si pembentang.
                Kamelya Tan Sri Maarof membalas renungan Adrian yang seakan tidak pernah berganjak sejak dia berdiri membuat pembentangan pagi ini. Renungan itu membuatnya tersenyum penuh keyakinan. Renungan itu membuat jiwa wanitanya bangga. Apa tidaknya, lelaki sehebat Adrian memberi perhatian kepadanya lebih dari segalanya. Dia melarikan pula pandangannya ke sebelah kanan. Anak matanya bertembung dengan renungan seorang lagi jejaka yang tidak kurang hebatnya. Jejaka itu merenungnya tajam beserta senyuman nakal membuat Kamelya ikut tersenyum.
                Mikhail Karman, Pengurus eksekutif bahagian kewangan Syarikat Indah Bumi Corporation mengulum senyum nakal kearah wanita berkaliber yang sekian lama dipujanya. Wanita itu cukup sempurna di matanya. Tiada cacat cela. Rupa parasnya yang iras-iras pelakon dan model jelita Nasha Aziz sudah cukup untuk membuat hatinya cair. Ditambah lagi dengan kelembutan butir bicara disebalik sifat tegasnya tambah menguatkan keyakinan Mikhael bahawa wanita inilah yang menjadi idamannya.
                “My presentation ends here. So, if there is any question, you may ask directly now,” Kamelya mengakhiri pembentangannya yang bermula 30 minit yang lalu.
                Beberapa soalan dikemukakan oleh pengarah-pengarah Syarikat Indah Bumi. Setiap soalan dijawab dengan penuh keyakinan oleh Kamelya disertai professionalism yang tinggi. Adrian tidak mengajukan sebarang pertanyaan, sebaliknya dia hanya menjadi pemerhati. Mikhail, sepupunya juga mengambil tindakan serupa.
                Akhirnya seisi soal jawab selesai dan mesyuarat bersuarai tepat jam 12.30 tengah hari. Kamelya masih berbincang dengan Pengarah Tan berkenaan projek yang bakal dijalankan bersama oleh kedua-dua syarikat itu ketika Mikhail datang kepadanya.
                Pengarah Tan yang menyedari kehadiran Mikhail segera mengambil langkah menamatkan perbincangannya dengan Kamelya dan meminta diri.
                “Hi. Nice presentation. Congratulation,” ucap Mikhail lantas menghulurkan tangan untuk bersalam.
                Kamelya tersenyum dan menyambut salaman jejaka kacak itu. “Terima kasih, Encik Mikhail,”
                “Hey, don’t call me that. So, how about lunch?” Mikhail kini tesenyum. Tidak mungkin dia melepaskan peluang untuk menghabiskan masa bersama wanita pujaannya itu pada masa rehat tengah hari ini.
                “Hmm.. I would love too, Mike. Tapi, Ad dah ajak I dulu. Dia SMS I awal pagi lagi,” balas Kamelya dengan wajah kesal.
                “So, nampaknya lunch sendiri lagilah I tengah hari ni,” Mikhail buat-buat merajuk sengaja menduga reaksi Kamelya.
                “Ala, kesiannya.  Hah, I ada idea!  Apa kata kita lunch sama-sama. You, I and Ad? Nak tak?” cadang Kamelya dengan wajah yang penuh keterujaan.
                “Bolehkah? Ad tak marah?”
                “Eh, kenapa pula nak marah. Kita makan je kan,” Kamelya menolak sangkaan buruk Mikhail.
                “Okay then,” Mikhail bersetuju.
                “Alright. I’ll tell him first,” ujar Kamelya yang kemudiannya berlalu mendapatkan Adrian yang sedang bercakap-cakap dengan setiausahanya.
                Mikhail bersandar pada meja sambil memerhatikan Kamelya berbual mesra dengan Adrian. Ada perasaan cemburu yang menyelinap masuk ke dalam dirinya ketika itu. Jelas benar di matanya Kamelya lebih mesra dan manja dengan Adrian berbanding dengannya. Kenapa?
                Terlintas seketika kisah lalu dalam ingatan Mikhail. Ketika mereka masih lagi remaja, Mikhail dan Adrian sering bersaing sesama sendiri untuk menjadikan Kamelya teman wanita mereka. Pernah satu ketika, Adrian mengalahkan Mikhail untuk keluar bersama Kamelya pada malam hari ulangtahun gadis itu. Mikhail makan hati sampai tidak bertegur dengan Adrian selama seminggu. Tapi akhirnya, mereka berdua juga yang putih mata apabila Kamelya memilih Firdaus, anak Dato’ Hussain untuk menjadi teman istimewanya. 
                “Mike, fikir apa tu?”
                Suara Kamelya yang lunak membawa pergi kenangan lebih 10 tahun yang lalu. Mikhail menggeleng sambil tersenyum. Pandangannya beralih dari Kamelya kepada Adrian, abang sepupunya yang memandangnya serius.
                “Jom kita pergi makan sekarang,” ujar Kamelya sambil membawa beg computer ribanya di atas bahu.
                Secara spontan, Mikhail dan Adrian menarik beg itu serentak sehingga sedikit ketegangan berlaku  di antara mereka.
                “Biar saya yang bawa,”Adrian mula menarik beg berwarna hitam itu.
                “Tak apa, bro. Biar saya bawa. Saya kan lebih muda,” Mikhael pula tidak mudah menyerah. Beg itu ditarik lagi.
                “Jangan degil, Mike,” kali ini Adrian menarik dengan lebih kuat sehingga tangan Mikhael ditarik ke depan.
                “Kamu ni macam budak-budak betullah. Biar Mike yang bawa beg tu,” Kamelya bertindak meleraikan ketegangan itu dari berpanjangan. Kalau dibiarkan entah sampai bilalah akan berakhir.
                Adrian melepaskan genggamannya dengan wajah tak puas hati. Mikhael menjongketkan keningnya dengan senyuman sampai ke telinga. Mereka bertiga melangkah meninggalkan ruangan itu.
                “Kau patut menyerah dari awal lagi,” ujar Mikhail sengaja menyakitkan hari Adrian.
                “Jangan harap. Kau yang patut surrender dulu,” balas Adrian sambil menjeling kea rah sepupunya.
                “The best man wins, bro. Best man,” Mikhail tidak berputus asa. Dia menekankan perkataan best man yang dia rujuk sebagai dirinya sendiri. 
                “Then, I’m the best man,” Adrian membalas lagi.
                Kamelya menggeleng lantas berjalan lebih pantas di hadapan dua orang jejaka yang sibuk berebutkan dirinya. Malas dia mendengar dua orang saudara itu bertikam lidah.
                “Really? Aku tak nampak buktinya pun,” Mikhail ketawa sinis.
                “Mike, kalau kau masih sayang skyline kau tu, lebih baik kau diam,” Adrian yang tidak tahu lagi apa nak balas mengeluarkan ancaman yang pastinya akan membuat sepupunya itu menutup mulut.
                “Apa yang kau boleh buat dengan my babe, skyline tu?” Mikhail tidak termakan ugutan Adrian.
                “Aku rasa baby kau tu dah lama tak tukar cat baru. Apa kata kita tambah warna putih di atas bumper. Atau warna hitam,” giliran Adrian pula ketawa besar. Wajah Mikhail pula sudah berubah.
                “Wei, janganlah main kotor,” Mikhail sudah mula merendahkan diri, sementara Adrian masih ketawa syok sendiri.
                “Oh ya, kita naik kereta siapa ya?” langkah Kamelya tiba-tiba terhenti lalu dia menoleh. Subjek yang menjadi perbualan dua orang jejaka itu membuatnya terfikir untuk menanyakan soalan itu. Pandangannya beralih dari wajah Mikhail kepada Adrian.
                “Kereta aku,” Adrian dan Mikhail berkata serentak.          
***
Nina menggosok pasu porselin Cina sambil fikirannya masih melayang memikirkan kejadian semalam di rumah. Dia tahu dia tidak sepatutnya bersikap keterlaluan sehingga menampar pipi Lena. Dia kehilangan rasionalnya kerana terlalu dikuasai emosi. Bukan mahunya, tapi semua itu sudah pun terjadi.
                Pagi tadi dia sudah meminta maaf dengan Lena, tapi tiada reaksi positif dari adiknya itu. Pipi kiri Lena kelihatan kemerahan, tambah membuatkan Lena rasa bersalah. Tidak hairanlah kenapa Lena tidak mahu membuka pintu bilik untuk Nina malam semalam. Akhirnya, Nina terpaksa tidur di bilik ibunya. Nina tidak kisah tentang hal itu, dia faham situasi adiknya. Dia tidak mahu terlalu memaksa. Biarlah masa dan keadaan yang menentukan. Lagipun dia sudah meminta maaf dengan cara baik pagi tadi sebelum Lena pergi ke kolej.
                “Nina, jaga pasu tu!” jeritan Mak Nah memeranjatkan Nina sehingga membuat pasu yang terletak di atas rak itu hampir terjatuh akibat tindakan refleks tangannya terhadap suara Mak Nah yang nyaring. Dengan pantas dia memegang kemas pasu itu agar tidak jatuh. Mujurlah, sempat diselamatkan.
                Nina menghembuskan nafas penuh kelegaan dan kesyukuran kerana pasu itu berjaya diselamatkan. Kalau tidak, silap-silap dia boleh kena pecat atau paling minima pun gajinya dipotong. Tangan kanannya tak habis-habis melurut dada.
                “Apa yang kamu khayalkan tu, Nina. Nasib baik pasu tu tak jatuh. Kalau jatuh tadi, kamu juga yang susah,” Mak Nah mula meleter sambil berjalan menghampiri Nina. Jelas sekali dia pun lega yang pasu tu terselamat.
                “Maafkan saya, Mak Nah. Mak Nah pun satu. Janganlah jerit kalau nak ingatkan orang. Tengok tadi, terkejut beruk saya,” balas Nina pula. Baginya jeritan Mak Nah tadi terlalu beremosi. Bukan pula nak tolong dia menyelamatkan pasu tu tapi tambah mengeruhkan keadaan.
                “Biasalah orang tua, Nina. Mudah cemas. Hah, apa yang kamu fikir tadi tu? Boyfriend ke?”  Mak Nah mula mengorek cerita sambil senyum-senyum.
                “Eh, apa ke jadah fikirkan fasal boyfriend, Mak Nah. Lagipun buat apalah saya fikirkan orang yang tak wujud,” Nina lantas menafikan. Tanpa sengaja dia terpandang gambar Adrian yang secara kebetulan memandang ke arahnya di dalam rak kaca yang sedang dibersihkannya. Nina tiba-tiba kecut perut bila teringatkan lelaki itu.
                “ Jadi apa yang kamu fikirkan? Macam serius sahaja,” nampaknya Mak Nah belum berputus asa.
                Melihat kesungguhan Mak Nah yang mahu benar mendegar ceritanya, Nina kembali tersenyum. Dia sebenarnya senang bersama dengan Mak Nah. Wanita itu begitu ringan mulut dan mudah dibawa berbual. Walaupun kadang-kadang nampak macam busybody, tapi Nina selesa dengan caranya. Seronok dibawa berbual apa lagi bergurau.
                “Saya gaduh dengan adiklah, mak Nah,” Nina mula buka cerita. Dia menggosok permukaan rak kaca yang sudah berdebu nipis.
                “Biasalah tu, Nina. Sedangkan lidah lagi tergigit apa lagi adik beradik,” Mak Nah berkias-kias pula.
                “Eh, itu bukan pepatah untuk suami isteri ke, mak Nah,” Nina berhenti berfikir. Macam lagu Tan Sri P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul.
                “Ah, samalah juga tu. Suami isteri dan adik-beradik kan tinggal serumah,” balas mak Nah pula. Nina ketawa kecil sambil mengangguk. Memang betul apa yang Mak Nah katakan tu.
                “Kamu janganlah susah hati sangat fasal tu, Nina. Air dicincang tak kan putus. Kalau kamu tak percaya, cubalah cincang air di paip tu kalau dapat,” seloroh Mak Nah.
                Nina tergelak. Mak Nah memang pandai berseloroh dan membuat orang ketawa. Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah mewah itu. Nina dan Mak Nah segera berpandangan.
                “Mak Nah masuk dapur dululah, ya. Kamu pun sambunglah kerja tu. Nanti kedapatan pula kita berborak,” Mak Nah laju mengatur langkahnya ke dapur.
                Jantung Nina berdebar kencang. Dia mengintai di sebalik rak kaca itu kea rah pintu masuk utama. Dia belum bersedia untuk berjumpa si BlackNwhite itu. Kalau dia ditangkap hari itu, habislah ceritanya di rumah mewah itu.
                ‘Lebih baik aku menyembunyikan diri,’ fikir Nina sambil terintai-intai. Dia memerhatikan sekelilingnya untuk mencari idea tempat persembunyian yang paling selamat. Dia melihat kea rah kolam renang di sebelah kiri. Ya, di luar! Dia boleh berpura-pura membersihkan kolam atau menyapu daun-daun kering berhampiran kolam renang.
                Menantikan kesempatan yang tepat, Nina masih mengintai. Dalam kiraan tiga dia akan berlari menuju ke luar. Satu, dua, tiga! Nina melangkah pantas melalui ruang tamu tengah yang luas menuju ke destinasinya.
                “Petra,”
                Langkah Nina mati serta merta. Nina masih tidak mahu menoleh. Dia tetap membelakangi tuan punya suara yang memanggilnya ‘Petra’. Dia belum bersedia untuk ‘ditangkap’.
                “Buatkan saya lemon tea panas. Hantarkan di bilik saya ya,”
                Suara lelaki itu bukan seperti suara yang pernah didengarnya. Suara ini lebih.. Lebih lembut dan sopan walaupun kedengaran letih. Nina memberanikan dirinya menoleh sedikit tetapi masih menunduk. Dia dapat mendengar langkah tapak kaki lelaki itu kini menaiki tangga. Dia mencuri pandang ke arah lelaki yang ketinggiannya mencecah enam kaki itu. Lega. Itu bukan si BlackNwhite.
                Nampaknya lelaki itu tidak kisah pun dengan keganjilan sikap si pembantu rumah. Malah dia tidak membentak ketika arahannya tidak bersahut. Nina menunggu bayangan lelaki itu hilang di tingkat atas barulah dia berlalu ke dapur untuk mengerjakan arahan lelaki itu.
                “Mak Nah siapa lelaki yang baru balik tu?” Nina terus bertanya sebaik tiba di dapur. Ketika itu Mak Nah sedang menyiang ikan.
                “Itu Tuan Mikhail. Anak saudara Tuan Besar Rahman. Dia saja yang selalu balik tengah hari untuk rehat di rumah. Kenapa? Apa dia nak?” penjelasan Mak Nah disertai soalan berantai.
                “Oo. Dialah Tuan Mikhail tu, ya. Dia kata nak lemon tea panas. Dia minta saya hantar di bilik,” jawab Nina sambil masih berfikir-fikir. Dia mendongak memandang jam dinding di dapur. Sudah jam 1.30 petang. Pejabat sepatutnya mula pada jam dua nanti. Nina rasa agak pelik. Ah, biarkan. Orang kaya, suka hatilah nak buat apa saja, dia menyimpulkan.
                “Sekejap ya. Mak Nah buatkan,” kata-kata Mak Nah seolah meyedarkan Nina dari fikirannya. Cepat-cepat dia menghalang kerana melihat kesibukkan Mak Nah.
                “Eh, tak apalah. Biar saya saja yang buatkan. Mak Nah kan sibuk. Tuan tu suka manis ke tawar?” Nina segera membuka peti sejuk untuk mencari buah lemon.
                Mak Nah sempat tersenyum. Ringan sikitlah kerjanya begini. “Dia tak suka manis sangat. Asalkan ada rasa dah cukup. Guna gelas besar tu,” jelas Mak Nah yang masih sibuk menyiang ikan.
                “Okay. Rasanya baik guna mug besar ni. Kan teh ni panas,”  
                “Pandai-pandailah kamu, Nina,” balas Mak Nah.
                Nina menuang lebih dari separuh air panas dan selebihnya air sejuk ke dalam mug tadi. Kemudian, dia melakukan proses membuat teh lemon. Setelah semuanya selesai, dia meletakkan di dalam dulang dan bersedia untuk menghantarnya ke atas.
                “Perlahan-lahan naik tangga tu,” pesan Mak Nah sebelum Nina meninggalkan dapur.
                “Yalah,”
                Nina menjinjing dulang dengan penuh berhati-hati terutamanya ketika menaiki tangga. Dia berjalan menuju ke bilik Tuan Mikhail dan mengetuknya. Beberapa kali mengetuk, tidak berjawab. Akhirnya, Nina memberanikan diri membuka pintu bilik itu dengan perlahan-lahan. Dia mengintai ke dalam. Rupanya, lelaki itu sudah tertidur.
                Perlahan-lahan, Nina menapak memasuki bilik itu dan meletakkan dulang dan minuman tadi dia atas meja. Dia sempat mengerling kea rah telefon bimbit Samsung Galaxy dan segugus kunci kereta yang berselerak di atas meja. Agaknya dia terlalu penat bekerja, fikir Nina yang kemudian melarikan pandangan kea rah seorang lelaki yang sedang nyenyak tertidur di atas katil. Nina tersenyum. Bukan selalu dapat peluang melihat keindahan ciptaan Tuhan seperti ini, bisik hatinya nakal. Dia berdiri seketika lagi di depan pintu dan terus memerhatikan lelaki itu tidur.
                Tiba-tiba, Samsung Galaxy bergetar kuat di atas meja. Nina yang tersentak sempat melihat skrin telefon bimbit itu.
                ‘Kamelya calling..’
                Nina memandang sekali lagi kea rah Mikhail yang masih tertidur. Telefon masih bergetar kuat. Nina tahu dia patut cabut sekarang juga sebelum Tuan punya telefon bimbit terbangun dan dia terlibat lagi dengan perkara yang tidak diingini.