source: www.santabanta.com |
Aku
mengenalnya sejak dua tahun yang lalu sewaktu parti menyambut pelajar baru. Dia
biasa-biasa sahaja. Rupanya tidak sekacak Tom Cruise atau setampan Aaron Aziz.
Cuma dia tinggi dan mempunyai bentuk badan yang gagah walaupun bukanlah segagah
Malek Nor. Dia mempunyai keupayaan untuk membuat wanita mendekat padanya, walaupun
auranya tidak sehebat Datuk Shah Rukh Khan. Namanya..
“An, kali ini giliran kita pula mengendalikan parti sambut
pelajar baru,” Amy, sahabat karibku mengingatkanku. Bibirku tanpa diminta
mengukir senyuman nipis.
“Tak
sedarkan kita sudah hampir tamat pengajian. Dulu senior yang uruskan parti
untuk kita, sekarang kita kena buat untuk budak-budak baru pula,” balasku
sambil memandang jauh ke luar jendela bilik asrama. Bangunan asrama pelajar
lelaki teguh berdiri di sebelah sana.
“Masa
berlalu, An. Kita sekarang sudah jadi senior,” respon Amy sambil menekan-nekan
pada papan kekunci computer ribanya. Kupandang kearahnya sekilas. Mataku tanpa
sengaja terpandang foto berbingkai di atas meja tulisnya. Foto Amy dan
kekasihnya, Boy.
Aku tersenyum lagi namun kali ini aku
mengangguk, mengiyakan kata-kata Amy. Kami kini sudah berusia 22 tahun. Tahun
depan, kami akan meninggalkan gelaran pelajar dan memasuki alam pekerjaan yang
menjanjikan cabaran yang berbeza.
Buku
rujukkan sudah diselak hingga ke halaman 256. Mataku memandang kosong
patah-patah perkataan yang bertulis dalam Bahasa Inggeris itu. Ayat-ayat yang
bertaip kemas dalam font 12 itu bertukar menjadi kertas putih yang kosong dan
tidak bererti.
“Esok
kita ada meeting tau. Kau jangan lupa sediakan agenda,” Amy bersuara lagi, kali
ini mengingatkan tentang mesyuarat berkaitan parti itu esok. Segera eye contact berlaku antara kami.
Kemudian, dia berpaling dan kembali memandang skrin komputer ribanya. Tiba-tiba
aku menyalahkan diriku kerana terlalu berbaik hati untuk menerima jawatan
setiausaha dalam Persatuan Rakan Kampus untuk semester ini. Padan dengan muka
aku.
“Aku
hampir lupa. Terima kasih kerana tolong ingatkan,” balasku dalam nada acuh tak
acuh.
Kenapalah
hal sepenting ini tidak aku fikirkan? Kenapa aku membiarkan otakku memikirkan
hal picisan tentang budak yang dua tahun lebih muda daripadaku itu? Adakah aku
sudah hilang kematanganku? Kenapa?
Malam
melabuhkan tirainya dengan kemewahan gemerlapan bintang dan sinaran cahaya
bulan. Suasana ini membuatkan aku termenung semula ditepi jendela menatap alam
yang disimbah keindahan cahaya semulajadi. Sejak beberapa hari ini, aku rasa
tidak keruan. Aku terlalu ingin berkomunikasi dengannya. Aku mahu melihat wajah
budak itu. Aku ingin tahu, apakah hanya aku yang merasakan perasaan ini ataupun
sebaliknya. Tapi bagaimanakah aku mahu mendapatkan jawapannya kalau aku berada
di sini tanpa melakukan apa-apa.
Aku
memandang telefon bimbitku. Haruskah aku menghubunginya? Namun atas alasan apa?
sekarang sudah menunjukkan jam 10 malam. Kalau hendak bertanyakan tentang
mesyuarat, aku boleh sahaja menunggu hari esok. Tapi kenapa hatiku benar-benar
gatal untuk mengetahui hal ehwal budak ini? Kenapa? Aku gelisah.
“Hai.
Esok kita ada kelas jam 8 pagi tau,”
Pesanan
ringkas yang saja direka dihantar kepada orang yang tidak tahu-menahu pun
tentangnya. Kelas? Jam 8? Entah, aku sendiri pun tidah tahu tentang itu. Ini
memang gila! Ah lantaklah! Yang penting, aku menghantar sesuatu kepadanya.
Getaran
telefon bimbit membuat hatiku melompat. Dengan gelojoh, aku membuka pesanan
yang baru kuterima. Nama budak itu tertera pada skrin. Ini sudah cukup
membuatku tersenyum sehingga esok.
“Salah send??”
Bukan
salah tapi buat-buat salah. Hati dan bibirku tersenyum serentak. Rasa terubat
perasaan penuh pertanyaan tadi. Aku cuba memikirkan jawaban yang sesuai supaya
tidak menunjukkan sangat keterujaanku di sebalik pembohonganku.
“Oops.
Maaf. Saya tersalah hantar. Anyway, Good
night,”
Pesanan
selamat dihantar. Aku masih lagi tersenyum. Tindakan luar kematangan tadi
umpama penawar yang mujarab. Perasaan tertanya-tanya yang seperti penyakit ini segera
tamat dan aku tidak lagi segelisah sebelum menghantar pesanan ringkas berbaur
pembohongan tadi.
source: www.zedge.net |
***
Pagi
ini, aku melihat budak itu di kafeteria. Dia nampak ceria dan riang bersama
teman-temannya. Hatiku bertambah ringan dan senang. Hanya dengan melihat
gerangannya, hariku turut bermula ceria, seceria wajah budak itu.
Dalam
kelas, ada rasa yang melonjak-lonjak ingin keluar dari hatiku seperti tidak
sabar rasanya menanti tengah hari menjelma. Berkali-kali aku menyelak masa
sehingga Amy pun perasan kelainan sikapku pagi ini. Aku tahu, sudah tiba
masanya aku mengambil penawar perasaan ini. Ianya seperti mengambil ubat dalam
waktu yang ditetapkan untuk mengawal penyakit. Penawar ini perlu diambil dalam
masa yang ditentukan, dan tidak boleh melebihi dos yang telah ditetapkan. Kalau
tidak, padah menanti.
Waktu
yang dinanti akhirnya tiba. Masa penantian itu sungguh suatu penyeksaan.
Satu-persatu ahli jawatankuasa tiba dan memenuhi bilik mesyuarat. Tidak lama
kemudian wajah yang dinanti juga muncul masih dengan wajah yang ceria. Aku tak
dapat menahan diri dari tersenyum. Apakah yang dipakai oleh budak ini sehingga
boleh membuat aku tersenyum hanya dengan memandang senyuman pada bibirnya.
Sungguh senyuman itu suatu yang mudah berjangkit.
Mesyuarat
berjalan lancar. Tambahan lagi dengan kehadiran budak itu. Entah kenapa, aku
susah untuk melarikan pandanganku daripadanya. Sementara ahli jawatankuasa
membentangkan hasil kerja mereka, fikiranku melayang jauh. Tengah hari ini,
penyakit tertanya-tanya yang belum dapat didiagnosis itu tidak menggangguku.
Selagi aku memandang budak itu, semua seperti berada di dalam kawalan dan
normal. Kenapakah aku punya perasaan begini?
Aku
teringatkan cerita lawak si budak itu yang membuatku ketawa berdekah-dekah
seperti lupa dunia. Dia tahu berseloroh dan begitu mudah membuatku ketawa.
Pastilah keadaan seperti ini lebih selesa dan menyenangkan berbanding berkerjasama
dengan seorang yang terlalu serius dan berwajah ketat. Dia senang dibawa
berbincang dan seronok diajak berkerjasama.
“Bagaimana
dengan kenderaan, Dani?” Zek, pengerusi mesyuarat mengajukan pertanyaan kepada Dani, si budak
yang menjadi punca kenapa penyakit aku ini.
Ku
mengalihkan pandangku pada wajah Zed yang sudah ketat. Oleh sebab wajahnya
selalu ketat dan begitu susah untuk senyum, aku dan Amy menggelarnya Mr.
Uptight dalam diam-diam. Aku sebagai setiausahanya dalam organisasi persatuan
ini sudah terlalu jelas dengan sikapnya. Dia memang komited terhadap kerjanya,
tetapi dia terlalu serius.
Dani..Dani..Dani..
Kenapa kau buat aku rasa begini?
Mesyuarat
akhirnya selesai, dalam jangka masa yang kurasa terlalu singkat. Zek menyuruh
aku menyelesaikan beberapa perkara dan aku tiada pilihan selain menurut
kehendaknya. Dalam sibuk menyusun kertas-kertas bercetak di dalam fail, aku
melilaukan pandangan mataku menangkap gerangan budak yang membuatku sering
tertanya-tanya itu. Segera aku terpandangkan orang itu sedang berdiri di muka
pintu sambil melambaikan tangannya kearahku.
“Bye
An,”
source: favim.com |
Aku
membalas dengan lambaian serupa. Dua patah perkataan itu cukup membuat
senyumanku melebar hingga ke telinga. Sebabnya? Aku sendiri tidak pasti. Apa
yang aku tahu, setiap kali perasaan tertanya-tanya dan gelisah itu datang, aku
perlu melihatnya atau sekurang-kurangnya mendengar tentangnya. Bercakap
tentangnya pun sudah cukup untuk menghilangkan sementara perasaan ini. Adakah
ini suatu penyakit? Aku tidak tahu.
Bilakah
penyakit ini akan sembuh? Sampai bila aku memerlukan penawar untuk
menghilangkan sementara perasaan yang sungguh luar biasa ini. Biarlah masa yang
menjawab persoalan ini, kerana buat masa ini aku masih memerlukan penawar ini
untuk mengekalkan kewarasanku.
***
No comments:
Post a Comment