Tuesday, May 15, 2012

Black and White 3

Bab 3

Nina melangkah perlahan ke dalam kawasan rumah agam yang bercat putih bersih. Ranjit, penjaga keselamatan mempersilakan dia masuk sebaik Nina memberitahu kedudukannya. Untuk tiba ke sana tidaklah mengambil masa yang lama dari rumahnya kerana rumah agam itu hanya terletak di kawasan perumahan elit di atas bukit. Malah dari rumahnya pun, Nina boleh melihat rumah itu tersergam indah di antara rumah-rumah agam dan banglo-banglo yang terletak berhampiran. Dia hanya perlu menaiki satu bas dan berjalan kaki selama 10 minit untuk sampai ke sana.
                Jam baru menunjukkan 7.45 pagi ketika dia disuruh ke kawasan belakang oleh seorang pemandu yang berseragam hitam putih. Hari ini, Nina melihat tambahan tiga buah kereta di garaj. Jadi jumlah keseluruhannya enam buah kereta! Nina sempat melopong kekaguman, namun cepat-cepat dia menutup mulutnya. Nina mengatur langkahnya kea rah yang ditunjukkan oleh lelaki berusia 40-an tadi. Setibanya di belakang, seorang wanita gempal yang memperkenalkan dirinya sebagai Mak Nah, menjemputnya duduk di set meja dan kerusi taman menghadap kawasan lapang yang luas dan berumput hijau.
                “Selamat pagi, Nyonya Maria,” Nina berdiri penuh hormat setelah beberapa minit menunggu. Hari ini wanita itu mengenakan blous labuh warna ungu dan seluar slack putih. Rambutnya seperti semalam disanggul kemas. Mukanya bercahaya dengan senyuman.
                “Selamat pagi, Nina. Senang bisa melihat kamu pagi ini. Rasanya kamu bisa menandatangani kontrak sekarang,” tutur Nyonya Maria dengan pelat Indonesia .
                “Ya. Boleh,” Nina memberikan senyuman ikhlas.
                Nyonya Maria membuka sampul surat berwarna coklat dan mengeluarkan dua keping kertas A4 putih yang mengandungi ayat-ayat yang bercetak kemas.
                “Silakan, baca dulu isi kandungan kontraknya. Kamu simpan satu salinan, ya,”
                Nina menerima huluran kertas itu kemudian mula membacanya dengan teliti. Isi kandungan kontrak itu tidak membebankan, malah cukup rasional. Cuma yang menjadi penegasan ialah syarat bekerja sekurang-kurangnya selama tiga bulan baru boleh meletak jawatan. Sekiranya gagal berbuat demikian, harus membayar gaji selama tiga bulan. Nina agak ragu-ragu ketika membacanya tetapi kembali yakin apabila membaca syarat seterusnya yang mengatakan bahawa setiap kerja lebih masa akan dibayar gaji RM 8 untuk setiap jam. Lagipun waktu kerjanya hanya bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 6 petang. Tiada yang merugikan. Syarat-syarat lain melibatkan hal-hal hukum sivil seperti hal-hal kecurian dan pecah amanah. Secara keseluruhannya, tiada hal yang akan merugikan Nina selagi dia benar-benar ikhlas dan tulus bekerja di rumah itu. Tanpa berfikir panjang, dia mengambil pen dan menandatangani kontrak itu. Semuanya selesai. Mulai hari ini, dia merupakan pembantu rumah Nyonya Maria yang sah. Dia tersenyum bangga ketika menghulurkan semula kertas kontrak kepada wanita itu.
                “Semuanya sudah selesai. Kamu bekerja dari jam 8 hingga 6 petang. Kalau hujung minggu kamu kerja setengah hari saja. Sekiranya saya memerlukan kamu bekerja malam, saya akan membayar gaji overtime kamu. Yang selanjutnya akan dijelaskan oleh Mak Nah nanti. Kamu tanyakan saja semuanya pada Mak Nah, ya. Saya harus buru-buru pergi. Soalnya saya ada janji ketemuan sama klien,” Nyonya Maria kelihatan tergesa-gesa mengemas kertas kontrak dan beg tangannya.
                “Baik, Nyonya. Selamat jalan,” Nina berperilaku penuh hormat.
                “Kerja baik-baik ya. Saya jalan dulu,”
                Bayangan wanita itu menghilang di dalam rumah. Sebentar kemudian Nina terdengar deruan enjin meninggalkan garaj. Satu, dua dan tiga. Deruan enjin yang ketiga begitu menarik minatnya. Pasti milik Skyline merah itu, Nina membayangkan.
                “Cik, mari masuk,” suara Mak Nah mengegarkan angan-angan Nina. Dia segera berpaling dan memberikan senyuman. Langkah diatur satu persatu memasuki rumah agam itu.
                “Mak Nah panggil saja saya Nina,”
                Mak Nah sebagai pembantu kanan yang juga merangkap sebagai tukang masak di rumah itu menjelaskan semua kerja yang perlu dilakukan oleh Nina setiap hari mulai hari ini. Pertama sekali, Nina perlu membuka semua langsir dan tirai di seluruh rumah. Kedua, Nina kena mengemas seluruh ruangan di tingkat bawah. Ini melibatkan kerja mengelap dan menggosok perabot, menyapu dan mengemop lantai, menvakum permaidani, membersihkan tingkap kaca dan semua perhiasan serta mengganti langsir setiap dua minggu. Ketiga, mengemas dan membersihkan bahagian tingkat atas termasuklah bilik tidur semua penghuni rumah agam ini. Set katil perlu diganti setiap seminggu sekali atau berdasarkan permintaan tuan rumah. Keempat, Nina juga bertanggungjawab mencuci, mengering, menggosok, melipat dan menyimpan pakaian-pakaian setiap penghuni. Pokoknya, dia perlu menjaga setiap aspek kebersihan dan keceriaan rumah agam itu.
                Nina merasakan lututnya longgar ketika Mak Nah memulakan sesi orentasi dengan membawanya melihat-melihat keadaan di dalam rumah itu. Tangga tinggi dan besar terletak di bahagian depan menghadap ruang tamu. Sebuah Grandpiano berwarna hitam metallic menghiasi ruang tengah berhampiran dengan tangga. Nina sempat melopong. Ingin saja dia memainkan piano itu, walaupun sebenarnya pengetahuannya tentang muzik tidaklah seberapa.  
Nina melupakan seketika tantang piano itu dan kembali memikirkan beban kerjanya yang akan bermula hari ini.  Dia melihat dua set sofa di bahagian depan yang memerlukan tenaganya untuk dikemas dan didandan setiap hari. Belum termasuk perhiasan-perhiasan di dalam ruang tamu. Lukisan-lukisan bernilai tinggi dan potret-potret keluarga bergantung di dinding. Silingnya yang menempatkan lampu-lampu dan chandelier indah pula begitu tinggi. Di luar sebelah kiri rumah pula terdapat sebuah kolam renang bersaiz sederhana yang membiru. Pasu-pasu disusun kemas menghiasi kawasan luar. Satu set kerusi dan meja besi bercat putih diletak berhampiran kolam. Dua set kerusi malas terletak menghadap kolam renang. Cantik memang cantik, tapi aniayalah orang yang mengatur semuanya itu.
                Mak Nah membawa Nina ke tingkat atas. Rumah agam itu bertingkat satu itu bukan kepalang besarnya. Nina tertanya-tanya juga buat apalah tuan rumah ini membuat rumah yang sebegini besar. Padahal dalam perkiraan Nina tak sampai 10 orang pun yang tinggal di dalamnya. Bahkan sekarang pun rumah itu kosong. Hanya tinggal dia dan Mak Nah saja di dalam rumah sementara Ranjit berjaga di luar.
                “Satu lagi yang Mak Nah nak beritahu. Kalau hujung minggu jangan masuk bilik Tuan Adrian dan Tuan Mikhail sebelum mereka bangun. Mereka pantang diganggu tidur. Kalau boleh jangan buat masalah dengan Tuan Adrian. Dia tu cerewet sikit. Nanti Nina juga yang susah nanti,” pesan Mak Nah.
                Nina mengangguk bak burung belantuk. Sebagai orang baru dia patut patuh dengan orang lama yang lebih banyak pengalaman dan tahu serba-serbi. Macam juga di university dulu. Junior patut mendengar nasihat senior. Nina terus meliarkan matanya memandang ruangan di tingkat atas itu. Ada banyak pintu bilik yang dilihatnya. Kesemuanya ada lapan pintu. Nina menelan liurnya. Patutlah gaji yang ditawarkan mahal, rupanya kerjanya mengalahkan kerja buruh di tapak pembinaan.
                “Kalau Nina nak tahu, inilah keluarga majikan kita,” Mak Nah menunjukkan gambar besar yang tergantung di dinding yang dibelakangi Nina.
                Seperti biasa gambar keluarga mempamerkan sepasang suami isteri yang sedang duduk dan mereka dikelilingi oleh anak-anak. Dalam potret itu ada dua orang lelaki dan seorang perempuan. Mereka bukan saja jutawan tapi juga rupawan. Cantik-cantik dan kacak-kacak belaka.
                “Eh, macam pernah nampaklah lelaki yang berdiri kat tengah tu,” tutur Nina sambil cuba mengingati di mana dan bila dia melihat rupa kacak pan-Asia itu.
                “Itulah Tuan Adrian, anak sulung Tuan Besar Rahman dan Nyonya Maria,” jelas Mak Nah.
                Nina merasakan rahangnya jatuh. BlackNwhite! Ya, itulah lelaki yang menemu duganya tempoh hari. Kecilnya dunia. Di tengah kesempitannya mencari pekerjaan, dia akhirnya terjepit juga dengan manusia prejudis begitu. Buat seketika, Nina merasakan kekosongan dalam dirinya. Kalau boleh dia tak mahu lagi berdepan dengan lelaki itu. Dia takut dan malu.  Tapi, sekarang dia terpaksa berdepan dengan lelaki itu. Semangatnya yang berkobar-kobar tadi seperti semakin padam.
                “Kacak tu memanglah kacak tapi dia ni garang dan dingin sikit. Tak macam Tuan Mikhail yang ringan mulut dan suka membantu. Gadis kecil di tepi tu pula Erica Rianna. Panggil Rica saja,” Mak Nah meneruskan orentasinya. Sangkanya Nina ternganga kerana terpanah dengan kekacakan Tuan Adrian itu.
                “Saya tiba-tiba jadi takut, Mak Nah,” Nina berterus terang tentang perasaannya.
                “Tak perlulah takut, Nina. Keluarga majikan kita tak selalu bercakap secara terus dengan kita. Selalunya, nyonya Maria saja yang akan menyampaikan apa-apa hal. Tak usahlah risau. Yang penting jangan timbulkan masalah dan buat saja kerja baik-baik,” kata Mak Nah dengan senyuman meyakinkan.
Lega sikit hati Nina mendengarnya. Tak kan dia nak berputus asa sebelum mencuba. Lagipun berdasarkan kata-kata Mak Nah, Nina pasti dia ada cara untuk mengelakkan diri daripada besemuka dengan Tuan Adrian itu. Tambahan pula, dia perlu mematuhi syarat kontrak yang baru saja ditandatangani. Kalau saja dia tahu, rumah ini milik si penemu duga tempoh hari, tak mungkin dia terhegeh-hegeh melamar pekerjaan itu. Namun apakan daya. Semuanya sudah berlaku. Dia harus tabah menghadapi pencubaan ini. Dia teringat matlamatnya bekerja di rumah itu. Mesin jahit elektrik untuk mak!
Kuatkanlah hatiku, ya Allah,’ doanya dalam hati.
“Ada apa-apa lagi yang Nina nak tahu?” tanya Mak Nah setelah Nina membisu agak lama.
“Emm.. Saya cuma nak tahu. Nyonya Maria tu bangsa apa ya? Cara dia bercakap macam orang Indonesia tapi rupanya macam orang putih?” Nina tiba-tiba ingin tahu tentang majikan barunya itu.
“Nyonya Maria sebenarnya berdarah kacukan Jawa-Belanda dan berasal dari Indonesia. Ibunya berbangsa Jawa sementara bapanya orang Belanda. Beliau berhijrah ke sini setelah menikahi Tuan Besar Rahman. Itu saja yang Mak Nah tahu,”cerita Mak Nah secara ringkas.
Nina sekali lagi terangguk-angguk, memahami cerita yang disampaikan tadi. Patutlah, fikirnya ketika membayangkan raut wajah Nyonya Maria dan Tuan Adrian yang ada sedikit persamaan.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Nina boleh menukar baju di tingkat bawah,” kata Mak Nah yang mula melangkah ke tingkat bawah.
“Tukar baju apa, Mak Nah?”
                “Baju kerja. Nina kena pakai baju seragam setiap hari. Kalau nak pakai dari rumah pun boleh. Kalau nak pakai bila sampai di sini pun boleh. Yang penting mesti pakai masa jam kerja,”Mak Nah menjelaskan lagi.
                Jangan kata baju seragamnya warna hitam putih lagi, fikir Nina longlai. Lemas tulang-tulangnya apabila mengetahui begitu banyak perkara yang perlu dilakukan walaupun hanya bekerja sebagai pembantu rumah.
                Nina mengekori Mak Nah ke bilik rehat pembantu yang bakal mereka kongsi. Setibanya di sana,Mak Nah menunjukkan sepasang baju lengan pendek dan seluar panjang berwarna biru terang kepadanya. Macam pakaian jururawat di bilik pembedahan. Tapi syukurlah bukan hitam dan putih lagi, Nina memanjatkan kesyukuran. Segera Nina menyalin pakaian dan memulakan tugasan hariannya. Takut nanti kalau lambat bermula, lambat juga selesainya. 

***
Lena mengemaskan buku-buku rujukannya sebaik sahaja kelas berakhir. Yvonne, rakan sekelasnya sudah menanti di depan pintu. Dia ada perkara yang perlu disampaikan kepada sahabatnya sejak sekolah menengah itu. Gadis berusia 20 tahun itu risau tentang Lena yang sudah lama tidak menghabiskan masa dengannya. Tambah merisaukan, Lena sudah mula bergaul dengan gadis-gadis terkenal yang diberi jolokkan Ratu di kolej. Mereka ini terkenal kerana sering melanggar peraturan kolej dengan berpakaian seksi dan selalu ponteng kelas. Bukan itu saja, mereka juga dikatakan sering keluar masuk kelab-kelab malam. Namun, pihak atasan tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ibu bapa gadis-gadis ini merupakan orang-orang berpengaruh dan disegani.
                “Lena, jom kita makan tengah hari bersama. Saya ada hal nak cerita dengan awak,” Yvonne menyapa apabila Lena lalu di depannya.
                “Sorrylah, Vone. Saya dah janji nak makan dengan Kamilla dan Vanessa. Lain kalilah ya,” Lena tergesa-gesa menarik beg tangannya ke atas bahu kanannya dan bergerak laju meninggalkan Yvone berputih mata di depan pintu. Dia seperti tidak mengendahkan lagi sahabat baiknya itu.
                Yvone hanya mampu memperhatikan Lena berlalu dengan perasaan hampa. Dia tak sangka Lena yang pendiam kini berubah menjadi serupa dengan gadis-gadis sosialita dari geng Ratu itu. Yvone terus memerhatikan Lena yang kini mendekati Kamilia, anak gadis salah seorang pemegang syer terbesar kolej tempat mereka belajar. Dari pemerhatiannya, Lena dan Kamilla merupakan dua unsur yang berbeza dari segi fizikal. Kamilla sarat dengan solekkan dan aksesori, sementara Lena nampak kasual dengan solekan minima. Sebentar kemudian dia melihat mereka berdua berjalan kearah lobi sambil ketawa-ketawa kecil.
                “Biarkanlah Lena tu Vone. Dia yang buat pilihan nak bergaul dengan orang-orang macam tu. Bukan awak tak ingatkan dia,” Herman menegur Yvone yang masih terkaku memandang belakang Lena yang semakin menjauh dari pandangan.
                “Saya mana boleh biarkan dia terjerumus dengan perkara yang tak baik. Saya kenal dia. Dia bukan jenis orang yang mementingkan kebendaan dan keseronokan. Mesti dia ada masalah yang dia sembunyikan dari saya,” Yvone memberitahu Herman yang kini berdiri di sebelahnya.
                “Mungkin dia stress dengan pelajaran kot. Atau dia ada masalah keluarga atau peribadi,” Herman cuba meneka. Dia pun sudah lama mengenali Lena. Mereka rakan sekelas semasa tingkatan lima dulu. Dia juga tahu Yvone dan Lena merupakan sahabat karib. Mereka berdua asyik berkepit macam belangkas. Jadi dia faham benar dengan situasi Yvone saat ini.
                “Tak tahulah, Man. Apa yang saya tahu saya tak boleh tak kisahkan dia. Saya tak kan biarkan dia membuat pilihan yang salah,” balas Yvone tegas. Sebagai seorang kawan, itu merupakan kewajibannya.
                “Saya rasa kita patut beritahu keluarga Lena. Awak masih simpan nombor telefon kakak Lena kan?” Herman mencadangkan jalan penyelesaian.  
                “Betul cakap awak. Malam nanti saya akan beritahu kak Nina,” cadangan Herman diterima Yvone tanpa banyak pertimbangan. Keluarga Lena berhak untuk tahu keadaannya.

Sunday, May 13, 2012

Black and White 2

Nina menendang batu kerikil yang terdampar kaku di bahu jalan. Rasa tak puas hati menguasai minda sihatnya. Rasa geram yang tak dapat diucapkan masih tersemat di dalam dada. Tak sangka kali ini pun temu duga berakhir dengan kegagalan. Semua ini gara-gara si BlackNwhite itu!
                Pagar besi yang telah separuh dimamah karat berkeriut nyaring ketika Nina membukanya. Perlahan-lahan, dia menutup semula pintu pagar usang itu dan berjalan memasuki kawasan rumah teres yang ditempatinya bersama ibu tercinta dan dua orang adiknya. Kaki hampir diheret ketika menghampiri pintu rumah kerana semangatnya sudah kendur.
                “Asalamualaikkum,”
                Di dalam kedengaran salamnya disambut. Suara ibunya diselangi bunyi mesin jahit manual yang bergerak laju. Nina membawa dirinya ke dalam.
                “Macam mana temuduga?” tanya ibunya yang masih menumpukan perhatian pada kain hijau tua yang sedang dijahit.
                “hmm..”
                “Aik, mengeluh? Kenapa,”
                “We will call you,”
                Puan Intan ketawa kecil. Rasannya dia sudah jelas dengan statemen ini. Dia menyambung jahitannya.
                “Tak apa. Nina rehatlah dulu. Tolong je mak menjahit,”Puan Intan memujuk. Di ruang tamu, Nina sedang berbaring di atas kusyen menghadap televisyen. Alat kawalan ditekan dan televisyen dihidupkan.
                “Nina nak cari kerja yang boleh buat Nina sara hidup kita sekeluarga. Nanti mak tak payah lah lagi menjahit siang malam. Kalau menjahit pun guna mesin elektrik je,” luah Nina sambil matanya tertancap kosong pada skrin televisyen.
                “Tak semua yang kita rancang akan berlaku seperti kemahuan kita. Kita hanya mampu merancang, Tuhanlah yang menentukan. Jadi kita selaku manusia perlu bersabar,” Puan Intan terus menyampaikan nasihatnya kepada Nina.
                “Mak doakan Nina, ya.
                “Mak sentiasa doakan anak-anak mak,” balas Puan Intan lembut.
Kelembutan suara itulah yang sentiasa menyejukkan hati Nina pada saat-saat yang seperti ini. Dia sungguh bersyukur kerana masih dapat merasakan kasih sayang seorang ibu. Abahnya sudah lima tahun meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Kasih sayang seorang bapa kini hanya menjadi kenangan manis dalam hidupnya.
Masih jelas dalam ingatannya keadaan abahnya sebelum menutup mata untuk selama-lamanya. Tubuh abahnya sudah amat kurus. Mukanya cengkung dan tidak bermaya lagi. Beliau hanya bergantung kepada bantuan alat pernafasan untuk terus bernafas. Dalam beberapa minggu terakhir, Nina seperti tidak sanggup lagi melihat abahnya menanggung kesakitan. Doktor juga sudah menasihati mereka sekeluarga untuk bersedia menerima kepergiaan abah pada bila-bila masa.
Akhirnya pada 15 November 2006, Encik Hashim telah menghembuskan nafas terakhirnya disisi isteri dan ketiga orang anaknya. Hanya air mata dan doa yang menghantar pemergiannya. Nina masih ingat keadaan di dalam wad pada hari itu. Adik perempuannya, Lena yang paling kehilangan kerana dialah yang paling rapat dengan arwah. Lena menangis teresak-esak bagai orang yang putus harapan. Puan Intanlah yang menenangkannya. Sepanjang ketika itu, Nina hanya menemani adik lelakinya, Harris yang ketika itu baru berusia 12 tahun.
Tahun berlalu begitu pantas. Mereka tiga beradik membesar bersama dengan kasih sayang ibu yang tidak kekurangan. Nina kini sudah menamatkan pengajian peringkat ijazahnya pada usia 23 tahun. Lena sedang menuntut di sebuah kolej swasta sementara adik bongsu Nina kini berada di tingkatan 5. Namun, Lena kini bukan Lena yang sama sebelum abah meninggal.
Tiba-tiba Nina teringatkan adiknya itu. Sejak akhir-akhir ini Lena sering balik lewat malam. Berbuih mulutnya meleter dan menasihati tetapi bagai masuk telinga kiri keluar tangan kanan. Kata-katanya bagai angin yang berlalu.
“ Mak, Lena mana?” tanya Nina sambil bangkit dari berbaring dan duduk lurus.
Diam. Mesin jahit berhenti menjahit.
“ Belum balik, Nina. Mak tak tahu apa lagi nak buat dengan adik kamu tu. Mak tanya itu ini dia tak jawab sepatah pun,”
Nina menghembuskan nafasnya agak kasar. Dia bukan tak tahu perangai adiknya itu. Susah sangat hendak bercakap. Kalau bercakap pun sebab nak minta duit. Lain-lain hal susah sangat mahu mendengar suaranya. Suaranya bagaikan bernilai emas.
“Nanti Nina cuba cakap dengan dia lagi ya,mak. Mak jangan risau,” giliran Nina menyejukkan hati ibunya.
Nina membalas senyuman ibunya yang kini menyambung jahitannya. Sejujurnya dia sendiri juga tidak tahu apalagi yang perlu dilakukan terhadap Lena.

Bab 2
Nina merayau-rayau di deretan kedai yang hanya beberapa ratus meter jaraknya dari rumah. Dia baru selesai menghantar pakaian Puan Khalsom yang sudah selesai digubah oleh maknya di kawasan perumahan berhampiran. Nina santai dengan skirt melepasi lutut berwarna biru dengan t-shirt putih. Rambutnya pula disanggul tinggi. Bagi Nina tidak perlulah berlawa-lawa kalau sekadar berjalan-jalan di kawasan kecil itu.   
                “Hei, Nina. Sudah dapat kerjakah?”
                Nina berpaling ke kedai di seberang jalan. Uncle Chan sedang melaung kepadanya. Nina tersenyum. Ramah sungguh lelaki sebaya abahnya itu di awal-awal pagi begini.
                “Belum dapat lagilah, uncle. Susah mau dapat kerja sekarang,” Nina membalas dari sebelah jalan. Mereka sudah biasa dengan cara perbualan begini. Mungkin bagi orang lain, perbuatan begini tidak sopan tapi mereka selesa dengan cara ini.  
                “Kalau macam itu, kerja sama unclelah,”
                Nina tergelak. Pelik betul pelawaan itu. Melihat saja jenis perniagaan Uncle Chan pun dia tahu memang dia tak dapat nak masuk.
                “Haiya uncle. Saya mana pandai bikin itu kereta ma,” balas Nina. Uncle Chan ni pun, agak-agaklah. Bisnes bengkel mestilah mahu mekanik, tak kan typewriter pula.
                Giliran Uncle Chan pula ketawa berdekah-dekah. Aik, peril aku ke? Fikir Nina masih senyum.
                “Jalan dululah uncle. Kalau banyak cerita nanti bisnes bankrap o,” Nina bergurau. Dia memang selalu bertegur sapa dengan peniaga-peniaga di sini. Hampir semua orang yang berniaga di sana dia kenal. Apa tidaknya, di sinilah tempat dia membesar. Semua selok belok kawasan ini dia tahu.  
                “Yalah. Kirim salam sama family kamu,” Uncle Chan sudah mengangkat tangan.  Nina meniru lagak lelaki itu dan terus menghayun langkahnya ke depan.
                Pertanyaan Uncle Chan membawa fikirannya kembali kepada soal pekerjaan. Tak ada kerja maknanya tak ada duit. Tak ada duit maknanya tak ada mesin jahit elektrik untuk mak.
                Duit.. Duit.. Duit.. Mana aku nak cari kau?!
                ‘Money..Money..Money.. What so funny.. In a rich man’s world!’
                Lagu nyanyian ABBA tiba-tiba berkumandang dalam kepala Nina. Ya! Lelaki kaya!
                ‘Jangan buat kerja gila! Lagipun kau bukan cantik sangat nak pikat lelaki kaya,’ suara itu bergema dalam fikiran Nina, ada roh baik di dalam jasadnya yang melarang.
                Nina menggeleng-gelengkan kepalanya sambil terus melangkah ke depan. Aku mesti cari jalan nak dapatkan kerja! Aku tak boleh duduk diam! Ya Tuhan, tolonglah hambaMu ini!
                Lorong kedai sudah hampir ke penghujungnya, tapi dia belum mahu pulang ke rumah. Dia tahu dia sepatutnya membantu maknya menjahit kain ela yang masih bertimbun, tapi dia sedang tiada mood. Fikirannya terumbang-ambing dek memikirkan masa depan yang tidak jelas. Dia terus menghayun langkah sambil matanya mencari-cari sesuatu yang menarik untuk dilihat.
                Langkah kakinya terhenti apabila terpandang iklan yang yang terpampang di dinding kedai. Dia membaca dengan teliti setiap patah perkataan yang dicetak di atas kertas A4 hijau itu.  
                “Jawatan pembantu rumah. Perempuan sahaja. 18 – 30 tahun. RM 1000 ++. Wah, hebatnya. Pembantu rumah pun boleh dapat gaji begini,” Nina kekaguman. Tapi takkanlah aku nak jadi orang gaji pula dah belajar tinggi-tinggi ni? Fikirnya.  Dia menggeleng sambil senyum kecil.
                Nina terus berjalan sambil memikirkan jumlah gaji yang ditawarkan untuk jawatan pembantu rumah tadi. Kalau kerja di supermarket pun belum tentu dapat gaji macam ni, Fikirnya lagi. Langkah terhenti dan Nina segera mengundur.
                Sebaris nombor didail.
***
                Nina memandang sekelilingnya dengan penuh perasaan kagum. Seumur hidupnya, dia belum pernah lagi menjejakkan tapak kakinya ke rumah agam yang sangat besar dan indah nian. Kolam ala bali di laman depan menciptakan suasana tenang dan dingin. Tak berkelip mata Nina ketika menyaksikan pelbagai jenis bunga-bungaan yang sedang bermekaran menghias indah kawasan depan rumah.
                Mengangkat kepala, Nina melihat balkoni di tingkat atas yang disokong oleh dua batang tiang putih dan besar yang dilingkari tumbuhan merayap berbunga ungu. Dia terus memerhatikan dua buah daun pintu besar berwarna coklat tua yang menghala ke bahagian dalam rumah. Pintu itu terletak di atas beberapa lapisan anak tangga dengan rekaan eksklusif. Nina melayangkan pandangannya ke bahagian garaj yang menempatkan tiga buah kereta jenama luar Negara. Kereta pertama Mercedez Benz untuk tujuan rasmi. Kereta kedua Ninja Toyota untuk perjalanan yang mencabar dan kereta ketiga Skyline Ferarri berwarna merah yang begitu ‘seksi’. Nina pasti ada beberapa buah kereta lagi yang tiada di sana. Dia hanya mampu melopong dan berliur memandang semua kemewahan itu. Agaknya sampai ke tua pun, dia tidak akan mampu mengecapi kekayaan seperti itu. Kecualilah ada keajaiban berlaku!
                “Selamat pagi,”
                Nina tersentak. Nasib baik latahnya tidak menjadi. Mulutnya hampir melopong sekali lagi apabila bertentang mata dengan seorang wanita rupawan. Walaupun hampir seusia ibunya, penampilan wanita itu begitu terjaga. Tubuhnya juga masih begitu langsing dan kulitnya masih cantik. Menurut tilikan Nina, wanita itu merupakan kacukan Melayu-Eropah. Hidung wanita itu sangat mancung, tidak seperti hidung kecilnya yang comel. Anak matanya berwarna hazel dan rambutnya keperang-perangan. Hampir kelihatan seperti wanita Eropah.
                “Selamat pagi, puan,” Nina membalas salam sambil berdiri sebagai tanda penghormatan.
                “Sila duduk,” pelawa wanita itu setelah duduk di kerusi yang berada bertentangan dengan tempat duduk Nina. Mereka duduk di sebuah set meja di depan rumah agam itu.
                “Terima kasih,” Nina melabuhkan punggungnya dengan penuh tertib. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas paha dan bukannya di atas meja seperti tadi.
                “Sila perkenalkan diri,” percakapan wanita itu kedengaran agak baku, seperti loghat Indonesia.
                “Nama saya Nina Hashim, berumur 23 tahun. Saya merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dari UiTM Shah Alam,”
                “Kamu ada kelulusan yang baik. Kenapa mahu kerja sebagai pembantu di sini?” tepat seperti jangkaan Nina, soalan demikian yang harus dijawabnya.
                “Zaman sekarang ni, bukan senang nak dapatkan kerja, puan. Lebih-lebih lagi dalam jurusan pentadbiran. Sebelum ni, saya dah cuba banyak temu duga tapi tak ada rezeki. Jadi saya buat keputusan nak cari kerja di luar jurusan saya. Lagipun, saya tak boleh memilih kerja sangat sekarang ni,” Nina menyusun kata-katanya dengan teratur. Dia sebenarnya sudah memikirkan barisan ayat ini sejak semalam. Apabila dia disuruh untuk datang pada pagi ini sewaktu membuat panggilan semalam, dia sudah mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan.
                “Betul cakap kamu. Tapi, adakah kamu tidak menyesal kalau bekerja di sini kelak?” satu lagi soalan yang terdapat dalam bank soalan Nina.
                “Saya tidak dapat katakan yang saya tidak akan menyesal kerana saya tidak tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Tapi, saya hanya boleh menjanjikan yang saya akan melakukan tugas saya dengan terbaik,” sekali lagi Nina lancar menuturkan jawabannya.
                Wanita itu tersenyum sambil mengangguk-angguk.
                “Apakah kamu akan setuju kalau kita mengikat kontrak? Kalau misalnya kamu mahu berhenti, kamu harus tunggu tiga bulan dan menyediakan notis supaya saya bisa mencari penggantimu sebelum kamu berhenti. Bagaimana?”
                Nina berhenti berfikir seketika. Tiga bulan bukanlah tempoh masa yang terlalu lama. Dia yakin dia dapat bekerja lebih dari tempoh itu sebelum menukar kerjaya nanti.
                “Saya setuju, puan,”
                “Baguslah kalau begitu. Kamu bisa mula kerja besok, ya. Kontraknya akan kamu tandatangani besok juga,” kata-kata wanita itu seperti hujan yang turun di hujung musim kemarau yang panjang. Akhirnya setelah kegagalan sebanyak 13 kali, Nina kini berjaya mendapat pekerjaan. Nina hampir  melompat. Ini merupakan kali pertama dia berjaya dalam temu duga. Tak tergambarkan perasaan gembiranya ketika itu. Senyumannya memanjang hampir ke telinga. Bolehlah dia membelikan mesin jahit elektrik untuk maknya.
                “Ini maklumat peribadi dan salinan kad penggenalan saya puan. Manalah tahu puan perlukan untuk menyiapkan kontrak itu,” Nina menghulurkan fail biru nipis yang selalunya mengandungi resume setebal satu inci.
                “Kamu sangat teliti. Saya memang tidak salah memilih kamu. Oh, ya. Kamu bisa panggil saya Nyonya Maria,” wanita itu mula menunjukkan sifat ramahnya. 
                Nina menunduk sedikit untuk memberi hormat kepada majikkan barunya. Hari ini merupakan hari bahagiannya setelah enam bulan! Mesin jahit elektrik akan menjadi hak milik maknya tak lama lagi.
               
***
                “Amar tak fahamlah. Kenapa kakak nak jadi orang gaji? Kakak kan dah masuk university?” adik bongsu Nina nampak tak puas hati dengan kerjaya pilihan kakaknya.
                “Kalau kak tak gagal 13 kali temu duga, kakak tak kan ambil kerja ni. Tapi memandangkan masa kakak belum sampai, jadi orang gaji pun dah kira beruntung. Gajinya pun boleh tahan,” jawab Nina lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.
                “Masa belum sampai konon. Siapalah yang nak ambil orang yang berusia 23 tahun tapi masih kebudak-budakkan untuk jadi pekerja. Lainlah kalau taska atau tadika,” ujar Amar kemudian ketawa berdekah-dekah memerli kakak sulungnya itu. Kata-kata itu mengingatkan Nina pada penemu duga tempoh hari. Orang lain selalu menyamakan sifat keremajaannya dengan sifat kekanak-kanakkan. Sedangkan pada pendapatnya, dua sifat itu banyak perbezaannya.
                Nina buat muka tak puas hati. Dia menyiku adiknya yang duduk bersebelahan sehingga adiknya mengaduh kesakitan. Puan Intan hanya menjadi pendengar dan pemerhati sejak tadi. Dia tahu benar perangai anak-anaknya itu. Mereka sebenarnya gaduh-gaduh sayang. Berejek-ejekan merupakan satu cara bermesra.
                “Betulkah Nina nak kerja di rumah orang kaya tu? Tak menyesal? Jadi orang gaji ni tak mudah tau. Disuruh itu ini macam kuli. Tak takut?” kini Puan Intan pula mempertikaikan pilihan Nina.
                “Mak ni. Patutnya bagilah Nina semangat. Nina yang bersemangat pun boleh jadi lemah dengar mak cakap macam tu,” Nina menunjukkan rajukknya. Mukannya mencuka.
                “Yalah.. yalah.. Kalau kamu yakin betul nak jadi orang gaji, pergilah. Mak tak kisah sangat. Yang penting kerja kamu tu halal,” nasihat Puan Intan kepada anak gadisnya itu.
                “Mestilah halal mak. Kalau tak halal tak kan Nina nak kerja,” Nina mempertahankan kedudukannya.
                “Amar pun tak kisahlah. Yang penting bila dapat gaji tu kakak belanja. Makan KFC ke, beli handphone baru ke,” Amar ketawa mengekek. Rupanya ada udang di sebalik mihun.
                “Ish, budak ni,” Nina menolak kepala adiknya perlahan, menunjukkan bantahannya.  Bagai tidak meninggalkan kesan ke atasnya, Amar menyambung ketawanya yang menyakitkan hati Nina.
                Mereka tiga beranak terus menjamu selera dengan kangkung goreng, sambal ikan bilis dan sup kunyit ikan bersama nasi panas. Nampak sederhana tetapi begitu menyelerakan. Justeru dalam kesederhanaanlah tersimpan kenikmatan dan kesyukuran. Ketika pintu depan berkeriut, perhatian mereka bertiga terhala ke sana. Lena muncul sebaik daun pintu terbuka lebar. Seperti biasa, wajah Lena nampak tegang. Tiada senyuman pada bibirnya dan matanya tidak bercahaya. Dia menapak perlahan ke dalam rumah dan terus berlalu ke bilik tidur tanpa sepatah kata pun.
                Puan Intan, Nina dan Amar saling berpandangan. Amar mengangkat bahunya dan kemudian menyambung makan seperti tiada apa yang berlaku. Dia sudah biasa dengan situasi begini. Dia sudah sedia maklum dengan sifat dingin kakaknya yang nombor dua itu. Malas dia nak ambil peduli.  Puan Intan dan Nina berpandangan. Mereka merasakan kerisauan yang sama.
                “Lena, mari makan,” Puan Intan bersuara setakat boleh menembusi dinding bilik. Dia tidak mahu kedengaran keras, kerana risau membuatkan anak gadisnya itu naik angin.
                Tiada balasan. Memang begitulah keadaannya hampir setiap hari. Entah mengapa semakin hari, Lena semakin menjauhkan diri dari mereka sekeluarga. Dia sering balik lewat malam dan jarang berbual dengan ahli keluarga yang lain. Memang perubahan sikapnya sudah disedari sejak abah meninggal dunia, tapi sejak akhir-akhir ini perubahannya semakin ketara. Sejak lima tahun lalu, dia bukan lagi Lena yang sentiasa ceria dan manja. Dia menjadi lebih pendiam dan suka bersendirian. Mendung sentiasa membayangi air mukanya yang ayu.
                “Nanti Nina cuba cakap dengan Lena, mak,” Nina cuba menenangkan perasaan ibunya. Dia tahu ibunya sudah mulai risau dengan anak kedua itu.
                “Cakap perlahan-lahan ya, nak. Takut buat dia marah lagi,” pesan Puan Intan yang selera makannya kini terjejas.
                “Tak payahlah pedulikan Kak Lena tu, mak. Biarlah dia. Dia kan dah besar,” Amar mencelah. Dia sebenarnya tidak mahu ibunya merunsingkan fikiran memikirkan kakak Lenanya yang semakin berperangai pelik.
                Puan Intan hanya mampu tersenyum tawar. Dalam hatinya, dia mempersalahkan dirinya kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah Lena dan mengembalikan Lena yang manis dan ceria seperti lima tahun lalu.