Thursday, July 5, 2012

Cerita Hati

Macam-macam Cinta
            Perjalanan pulang dari rumah Kayla di Tamparuli ke rumah kami di Kingfisher, Sepanggar yang mengambil masa lebih kurang 30 minit ditemani dengan siaran radio tempatan. Di dalam kereta Avanza ini hanya ada papa, selaku pemandu, mama dan aku. Aku banyak berdiam sementara mama dan papa sibuk berbual itu ini, semua berkaitan majlis perkahwinan nantilah.
            “Can you feel the love tonight..” nyanyian Elton John menarik perhatianku. Lagu ini memang antara lagu kegemaranku. Aku melayan emosi sendiri tatkala lagu ini terus bermain di corong radio. Nyaman pula mendengar lagu ni malam-malam begini.
            “Aku tak faham betullah si Elton John ni. Kenapalah nak jadi gay,” tutur papa dalam nada kesal.
            “Dunia zaman sekarang apa-apa boleh jadi,” komen mama pendek.
            “Kalau tengok, banyak juga perempuan orang putih yang lawa-lawa. Tapi dia pilih pula yang sejenis untuk dijadikan pasangan,” papa mengeluh lagi.
            Aku yang duduk di belakang seorang diri hanya berdiam. Mataku sibuk memerhatikan keadaan di luar sementara otakku menerawang. Aku sejujurnya bersetuju dengan pendapat papa itu. Kenapalah wujud orang-orang yang terpesong dari fitrah manusia iaitu golongan Gay dan Lesbian. Bahkan ada yang sanggup menukar jantina. Aku betul-betul hairan.
            Pernah sekali aku menonton filem bertajuk “Beautiful thing” yang memaparkan kehidupan pasangan Gay. Dalam cerita ini persahabatan antara dua orang lelaki beralih kepada hubungan yang lebih intim. Aku yang tengok dah geli tekak, entah macam manalah pelakon-pelakon boleh selamba saja melakonkan watak terpesong seperti itu.Betul kata mama, dunia zaman sekarang memang tak boleh dijangka. Lelaki dan lelaki pun boleh menjalin hubungan cinta. Bukankah ini satu hal yang diluar akal rasional?
            Lelaki bersama lelaki, dan wanita bersama wanita. Ini merupakan satu hal kebiasaan di Amerika Syarikat. Bahkan perkahwinan antara jantina sejenis juga diiktiraf. Tak masuk akal langsung! Adakah hubungan sebegini juga diiktiraf sebagai cinta? Bagi aku secara peribadi, ini satu perbuatan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan sudah jauh terpesong dari landasan agama. Ini bukan cinta. ini hanyalah nafsu serakah! Tapi, aku tidak berhak untuk menghakimi mereka yang mempunyai naluri luar biasa ini kerana aku pun manusia biasa yang tak pernah lepas dari melakukan dosa.
            “Aku dengar dia dan pasangannya sudah ambil anak angkat,” mama menambah informasi berkenaan si Elton John itu. Rupanya, masih lagi mereka berbincang soal dia ini sementara aku melayang dalam fikiranku sendiri.
            “Ada juga keinginan nak dapat anak, tapi pilih pasangan sejenis pula. Tak faham betul,” komen papa masih dalam nada kesal.
            Aku tak dapat mengelakkan diri dari memikirkan perkara yang sama. Itulah sebab Tuhan menciptakan wanita dan lelaki. Seorang wanita untuk seorang lelaki. Bukan seorang lelaki untuk seorang lelaki dan sewaktu dengannya. Haiwan pun dijadikan berpasangan, jantan dan betina. Semua ini dengan tujuan agar keturunan manusia tidak putus di muka bumi ini. Tak mungkin pasangan sejenis boleh melahirkan anak.
            Minta-minta aku dijauhkan dari keinginan terpesong ini. Aku masih normal. Walaupun aku tak pernah bercinta, itu bukan bermaksud aku tak tertarik dengan lelaki. Siapa kata aku tak cair kalau lihat lelaki kacak. Cumanya aku belum bertemu dengan pemegang kunci pintu hatiku ini. Akan bertemu atau tidak, aku sendiri tak tahu. Mana tahulah kan kuncinya sudah hilang. Kalau ya pun, aku terima sahaja ketentuan-Nya.
            “Kia, kamu dah tidurkah tu?” mama akhirnya sedar yang aku masih wujud di sini.
            “Hmm,” sahutku bermalas-malasan. Hatiku becok bercakap, tapi bibirku lain pula ceritanya.
            “Penatlah tu. Papa lagi penat tau,” si papa mencelah pula. Memang betul pun sebab papa lebih banyak buat kerja tadi. Yang berat-berat pula tu.
            “Esok kita datang lagi. jangan buat-buat lupa lagi,” amaran dari mama.
            “Hmm,” itu saja responku.
            Sudah dapat kubayangkan yang malam esok pasti akan lebih gamat. Pasti lebih ramai orang yang memenuhi rumah Aunty Rissa. Dan beban kerjanya entah semakin ringan atau bertambah berat. Kita tunggu dan lihat.
***
Nasi goreng pattaya tinggal seperempat dalam pingganku tapi perutku sudah terasa kenyang. Kathy yang duduk bertentanganku sedang menonton televisyen yang diletakkan di tempat yang tinggi di dinding belakangku. Kepalanya sedikit mendongak untuk mendapatkan pandangan tepat kea rah kaca televisyen itu.
            “Kes buang bayi lagi. Teruklah manusia zaman sekarang ni,” komennya yang kudengar lebih kepada rungutan dengan masalah social sekarang ini.
            “Tapi aku tak termasuk ya. Aku masih bermoral,” aku cuba bergurau untuk mengurangkan sikit keseriusan yang terlukis di wajahnya.
            “Ada aku cakap kau? Maksud aku manusia secara umum,” nada Kathy masih serius. Nampaknya lawak aku tak menjadi pula kali ini. Aku membalas dengan sengihan. Nasi bersama cebisan telur dadar kusuapkan ke dalam mulut.
            “Kalau tak nak bayi tu, bagilah kat orang yang nak anak. Pandai saja buat, tapi tak pandai nak tanggung,” macam marah pula aku dengar si Kathy. Jangan dia lampiaskan pada aku sudahlah. Mukanya macam orang nak bertumbuk pula dah.
            “Manalah mereka sanggup nak tanggung bayi tu, diri sendiri pun tak dapat jaga lagi,” aku menambah sedikit. Kupandang wajah sepupuku yang tetap comel walaupun dengan pakaian fesyen rugged. Dengan kemeja petak-petak dua kali lebih besar dari saiz badannya dan seluar denim yang besar pun, aku rasa dia masih boleh menarik perhatian lelaki (yang tak kisah soal fesyen lah).
            “Dah tahu macam tu, tak payah lah memandai nak buat. Menyusahkan orang saja,” marah Kathy lagi. Bukan main serius lagi raut mukanya. Pejuang hak asasi manusialah katakan.
            “Nilah masalahnya kalau terlalu terbawa-bawa dengan keinginan hati. Dah dilamun cintalah orang bilang,” komenku. Memang banyak kes buang bayi yang kudengar dalam kalangan remaja sekolah menengah. Penyebab utamanya? Apa lagi kalau bukan pergaulan bebas. Bila si jejaka meminta kepada si dara bukti cintanya, maka tanpa berfikir panjang si dara berikan begitu sahaja. Inikah cinta? Sampah! Ini hanya nafsu!
            “Cinta konon. Umur baru setahun jagung ada berani nak cakap fasal cinta konon. Cinta matilah, cinta abadilah. Cinta monyet bergayut adalah. Menyampah aku,” Kathy masih beremosi. Tapi semua yang dia katakan itu betul, tak ada yang salah.
            “Emosi nampak? Rilekslah. Minum dulu,”aku menghulurkan Kit Chai Ping yang masih separuh dalam gelas kepadanya. Kalau aku mengeluarkan komen-komen pedasku lagi, entah sampai bila cerita ni akan berakhir. Baik kusiram air di atas api yang semakin marak supaya tak berlaku kebakaran pula.
            “Eh, yalah. Kenapa aku beremosi pula ni? Agak over ya,”   sahut Kathy  lalu ketawa kecil. Sedar pun. Tadi bukan main lagi berlagak mengalahkan menteri wanita.
            “Kau jangan lupa datang majlis kahwin sepupuku, si Kayla esok. Nanti aku jemput kau awal pagi,” aku menukar topic perbualan. Sengaja untuk memperingatkan si Kathy tentang rancangan besok. Kalau dia tak datang kesianlah aku sendiri.
            “Kalau aku tak dapat datang macam mana?”
            Ni memang sengaja nak menduga aku ni. “Kau dah janji tau,”
            “Yalah. Yalah aku tahu,” Kathy menyerah.
            Aku tahu dia tak ada alasan untuk tak datang. Kerjayanya sebagai pelukis membuatkan dia mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Tak ada alasan untuk tak datang majlis tu esok. Dan itulah sebabnya juga aku sering mengajaknya untuk makan tengah hari bersama. Lagipun galerinya dan klinikku terletak di kawasan Sepanggar. Senanglah nak singgah-menyinggah.
            “Bagus. Tammy pun datang tau. Dia yang buat kek perkahwinan,” ceritaku lagi menambahkan minat Kathy. Sebenarnya kami bertiga sudah agak lama tidak melepak bersama. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Jadi inilah peluang kami, tiga gadis bujang untuk menghabiskan masa bersama.
            “Eh, yakah? Dah lama juga aku tak jumpa si tauke tu,” Kathy kelihatan teruja. Aku ketawa mendengar nama jolokkan yang diberikan Kathy untuk Tamara atau nama manjanya Tammy. Tauke. Ya. Dia memang tauke kedai bakeri di Inanam. Jauh sedikit dari tempat kami berdua. Selalunya, aku dan Kathy saja yang selalu melepak bersama.
            Bila teringat tentang kedua-dua sepupuku ini, aku tiba-tiba teruja untuk hari perkahwinan esok. Mesti banyak cerita yang akan terbongkar esok. Bukan setakat cerita hati tapi cerita mata, mulut dan telinga pun akan ada. Tak sabarnya nak tunggu hari esok.
***
Air mata menitik tanpa henti dari mataku. Apa fasal tak boleh berhenti ni!
            “Ni mesti tak selalu potong bawang besar ni, kan,” perli Aunty Rita. Padahal dia sendiri pun sedang teresak-esak menahan air matanya. Aku tahu dia hanya bergurau.
            Kerana tak tahan dengan serangan asid sulfenik dari bawang besar tu, aku menyerah. Pisau kuletakkan dan bawang yang sudah siap kukupas kulempar saja ke dalam bekas. Adoi, pedih gila!
            “Kia surrenderlah Aunty. Nak pergi cuci mata dulu ni,” ujarku dengan pandangan berpinar-pinar akibat linangan air mata. Aku bangkit berdiri sambil menyeka mataku dengan hujung lengan baju.
            “Jangan pula kau ‘cuci mata’ di luar sana. Nanti ada yang bengkak mata,” gurau Aunty Rita.
            Aku tersengih ketika melangkah cepat menuju ke bilik air yang terletak tidak jauh dari ruang dapur. Tanpa berlengah aku menolak pintu bilik air yang tak tertutup rapat itu kerana sudah darurat memerlukan air. Sekali pintu terbuka, aku terlihat seorang lelaki sedang memandangku dengan mata terkebil-kebil. Alahai! Dia ada di dalam rupanya. Ku fikirkan kosong saja bilik ni tadi. Adoi!
            “Eh, maaf. Saya tidak sengaja. Sorry.. Sorry,”aku mengundur lalu menutup semula pintu bilik air itu. Malunya!
            “Tak apa. Saya yang tak kunci pintu. Masuklah. Saya cuci tangan saja tadi,” jelas lelaki itu sambil menahan pintu.
            Huh! Nasib baik dia cuci tangan saja. Kalau tidak, mungkin aku akan kena sogit kerana.. err.. tak payah ceritalah. Yang penting tiada apa-apa.
            “Sorry ya,” pintaku lagi. Kali ini aku memandang wajah lelaki itu dengan teliti. Dia inilah. Kawan Jerry yang membuat aku berfikir semalam. Rasanya aku sudah ingat siapa dia ini.
            “Tidak apa. Eh, kau ni kan doktor di klinik haiwan kan?” kata lelaki itu sambil tersenyum sikit. Ketika itu pintu bilik air sudah terbuka lebar. Aku masih berada di luar dan dia masih di dalam. Cantik sangat latar tempat kisah 5 minit kami.
            “Ya, saya. Macam mana kucing? Sudah sembuh?” tanyaku sekadar berbahasa. Sedangkan pada ketika itu aku benar-benar tidak selesa. Mataku masih terasa saki-baki kepedihan akibat memotong bawang tadi. Badan pula sudah bau serupa bawang.
            “Dia okay. Sudah makan. Terima kasihlah,” lelaki itu masih tersenyum.
            “No problem,” balasku pendek. Ni bila pula dia nak keluar? Aku nak cuci mata ni. Kalau air mata meleleh semula dia juga yang hairan nanti.
            “Nak guna bilik airkah?” tanyanya pula. Soalan bonuslah katakan. Kalau aku tak nak masuk buat apa aku menyerbu tadi.
            “Ya. Nak cuci mata,” balasku dengan senyuman.  Eh, dah tahu tanya lagi dia ni.
            “Okay. Saya keluar dululah,”
            Aku mengangguk.  Itulah yang sepatutnya kau buat sejak tadi lagi, balasku hanya di dalam hati. Pantas aku menutup pintu bilik air dan menguncinya. Nanti kejadian berulang semula. Paip kupasang dan lantas membasuh mata dan tanganku. Baru lega sikit rasanya mata ini.
            Sengaja aku merayau di luar sekejap untuk melepaskan sakit pinggang akibat duduk terlalu lama tadi. Kaum lelaki, tua dan muda sedang menyusun kerusi di kemah. Papa, Uncle Jusin, si T-Rex (Rex saja sebenarnya), Uncle Kassan, Jerry semua sibuk mengangkat kerusi ke sana sini. Uncle Jack pun tak kurangnya menyibuk. Suaranya saja yang paling kuat kudengar dari sini. Aku menggeleng saja. Selain mereka, ada lagi beberapa orang yang aku kurang kenal. Agaknya orang kampung. Kemudian mataku terpacak pada seseorang yang bertubuh tinggi lampai yang sibuk membersihkan kerusi plastic. Aku tersenyum.
            Lama aku memerhatikannya sampai tak sedar pandanganku berbalas. Sedar-sedar sahaja dia sedang melambai ke arahku. Alamak! Kedapatanlah pula! Aku membalas lambaiannya dengan senyuman kecil. Adoi, memalukan betullah aku malam ini. Daripada aku terus memalukan diri di sini, lebih baik aku masuk dalam tolong potong bawang semula.
            ***

Cerita Hati

Kononnya Cinta
Logo Veterinarian
Seperti biasa, pagi-pagi begini aku sudah berada di klinik, bersedia dengan tugas ku untuk hari yang baru. Di mana nak cari Doktor veterinar yang berdedikasi macam aku! Hanya aku yang tahulah. Selalunya klinik aku ni tak ramai pengunjung. Maklumlah, rakyat Malaysia masih kurang kesedaran tentang kepentingan memberi rawatan kepada haiwan peliharaan dan ternakan mereka. Kalau mati, matilah. Agaknya begitulah prinsip kebanyakan rakyat Malaysia terhadap haiwan. Yalah kan, siapalah haiwan jika dibandingkan dengan manusia.
            Dikala aku berfalsafah sendiri, sayup-sayup kudengar suara Cika yang tenggelam timbul di luar bilik rawatan ku. Memang tak sah kalau tak riuh di awal pagi. Agaknya tak bermulalah hari kerjanya kalau tak bising sehari. Tak faham aku. Kubiarkan sahaja. Lagipun bukan tak biasa.
            Pasti si Cika sedang berbual dengan penjaga kaunter, Kak Jamilah. Kalau tidak pun dengan Lanie, si tukang bersih. Besar kemungkinan juga dengan si Fazley, si veterinar pembantu yang muda dan bolehlah dikatakan ada rupa. Selain dari mereka bertiga, sepengetahuan akulah, tiada orang lain lagi yang berpotensi untuk melayan Cika. Kecualilah, pelanggan kami atau pun pesakit. Itupun sangatlah kecil kemungkinannya.
            “Good morning, big boss,”
            Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu, Cika terus masuk ke dalam bilik. Kubiarkan saja.
            “Pagi. Jual apa pula pagi ni?” aku sengaja menduga sensitiviti Cika, sebab selalunya dia tak perasan kalau orang menyindirnya.
            “Jual? Tak adalah. Main-main pula Dr. Kia awal pagi ni,” Cika tersengih-sengih lalu mengambil tempat duduk.
            “Ada. Macam biasalah. Jual temberang,” aku buat-buat serius dalam berbicara. Sengaja menakut-nakutkan si gadis kecil  berbangsa Melayu Brunei itu. Malangnya, kata-kataku disambut pula dengan hilai tawanya yang dibuat-buat.
            “Dr. Kia ni memang pandai bergurau, kan. Tak apalah Dr. saya keluar dulu. Mana tau si Fazley perlukan apa-apa,”
            Aku hanya mampu tersengih. Cika ni memang spesies yang tak tahu malu. Muka tembok pun ada juga. Tapi aku tak kisah sangat. Asalkan dia buat kerjanya dengan baik dan sanggup menerima gaji yang kutawarkan walaupun tidaklah terlalu lumayan. Memang semua pekerjaku diberi gaji yang cukup-cukup saja dengan jawatan dan kelulusan mereka. Kalau aku mampu dan sanggup, aku mahu juga membayar gaji mereka lebih sikit, tapi keadaan benar-benar tak mengizinkan lagi. Aku sedar aku tak boleh bergantumg sangat dengan bayaran perkhidmatan, kerana itu pasti tidak mencukupi untuk membiayai klinik kecilku ini. Dengan keadaan ekonomi klinik yang turun naik, aku terpaksalah guna cara lain untuk menstabilkan pendapatan. Salah satu caranya ialah menjual barangan keperluan haiwan. Tak kiralah makanan, peralatan, atau syampu haiwan. Kadang-kadang aku menjadi orang tengah dalam urusan membeli dan menjual ternakan. Syukurlah, setelah dua tahun klinik aku masih bersedia untuk berkhidmat kepada mereka yang memerlukan.
            Dalam aku memikirkan masa depan klinik kecilkku ini, telefon bimbit ku bernyanyi nyaring. Ini yang aku tak suka ni, masa-masa sepi macam ni jugalah ada orang nak telefon. Niat di hati, mahu membiarkan saja panggilan itu tidak berbalas, tapi akalku menolaknya bulat-bulat. Lantas tangannya pantas menyeluk beg tangan untuk mencari benda yang masih menyanyi keriangan itu.
            “Hello,ma. Ada apa ni?” aku menjawab panggilan. Rupanya si mamalah yang menelefonku.
            “Kia sibuk tak malam ni?” pertanyaan dibalas pula dengan pertanyaan.
            “Tengoklah dulu, ma. Kan masih awal lagi ni,” balas ku endah tak endah.
            “Ni mesti dah lupa ni. Lusa kan kahwin anak Aunty Rissa kamu, si Kayla. Kamu tak ingat ke? Malam ni kita kena datang rumah mereka untuk tolong apa yang patut,” Alamak. Macam mana boleh lupa pula ni.
            Kepala yang tak gatal tiba-tiba menjadi gatal. Aduhai! Aku mana ada pilihan lain. Kena pergi juga. Aunty Rissa tu, adik mama. Tak kan tak pergi. Dalam hati kuat mengatakan keenggananku tapi, bibirku berkata lain pula.
            “Saya ingatlah, ma. Sengaja saja tu menguji mama. Pergi. Wajib pergi,” pandai sangatlah aku membohong.
            “Baguslah. Balik awal sikit tu,” pesan si mama.
            “Okay. Jumpa nanti,”
            Telefon dimatikan sementara otakku terus berfikir. Terlintas juga cara nak escape malam ni!
***
            “Ikat kuat-kuat,ya,” laung papa kepada sepupuku si Rex yang berada di hujung tiang yang sebelah. Tiang yang diperbuat dari buluh itu digunakan untuk menyokong kemah yang telah dibangunkan sejak petang tadi. Sekarang, mereka sibuk pula menghias kemah. Pasang daun kelapalah, pasang perhiasanlah.
            Aku menolak pinggang sambil mendongak keatas, memandang tali yang sudah distaple dengan kertas berwarna-warni, yang cuba dipasang oleh papa dan Rex. Tak menjadi pula rancangan escape aku. Bukan apa. Tak sampai hati pula aku main helah semata-mata mengelakkan diri dari mendengar leteran orang-orang veteran. Maklumlah saja. Aku ni dah masuk zon kahwin. Tapi tanda-tanda nak kahwin belum ada.
            “Atas sikit lagi, Rex,” arahku macam mandur.
            Rex menerima arahanku. Tali diikat atas sedikit dari kedudukan sebelumnya, tapi dengan susah payahnya kerana dia berdiri di atas tangga.
            “Kamu buat apa tu,Kia?” kedengaran suara Nenek memanggil dari beranda rumah. Aku yakin, mesti adalah yang mahu disuruhnya tu.
            “Tolong pasang ini, nek,” balasku sambil cepat-cepat memegang tali-tali perhiasan di dalam kotak. Saja menampakkan ‘kesibukan’.
            “Tolong mengarah adalah,” Rex tiba-tiba mencelah. Ini yang aku tak suka ni, tak boleh nampak orang senang sikit. Tak apa. Ada lori, ada bas. Lain hari, aku balas. Nantilah kau T-Rex, si dinosor.
            “Lagi bagus kamu masuk sini tolong sediakan cenderahati,”
            Ya. Itulah arahan nenek yang tak mungkin ku ingkari. Walaupun aku sudah berusia 27 tahun, nenek tetap ku sanjungi atau lebih sesuai digeruni.  Mahu tak mahu, aku menapak perlahan ke dalam rumah. Belum masuk sudah kudengar, suara ria kaum wanita yang sedang bercanda mesra. Ketawa-ketawa dengan penuh gembira. Entah apalah yang dibualkan tu.
            “Masuk pun si Kia ni. Sibuk pula dia campur urusan lelaki di luar,” Uncle Jack menyambut kedatanganku. Cakap-cakap orang konon. Sendiri pun menyibuk urusan perempuan. Sepatutnya dia berada di luar bersama-sama kaum lelaki yang lain. Tak patut betul.
            “Biasalah si Kia ni. Dia kan selalu buat kerja lelaki,” tambah sepupuku, Tania.
            Aku hanya mampu tersengih. Kemudian dengan penuh sopan santun, aku menyimpuh kaki di sebelah Aunty Rita dan mula memasukkan gula-gula ke dalam kantung kecil berwarna ungu tanpa sebarang bicara. Dari pandangan mata kasar ku lah, dah lebih dari cukup tenaga kerja yang diperlukan, tapi masalahnya sebahagian tenaga kerja yang ada tidak menyumbang tenaga pun. Menyumbang air liur adalah. Terutamanya si Uncle Jack. Asyik buat lawak saja kerjanya.
            “Berapa kita kena buat ni, Kay?” tanyaku kepada sepupuku yang bakal berkahwin lusa. Wajahnya ku tengok pun dah semakin berseri-seri. Seri pengantiklah katakan.
            “Paling kurang pun seribulah, Kia. Takut tak cukup nanti,” balasnya sambil tangan begitu cekap memasukkan gula-gula  ke dalam kantung. Dialah contoh tenaga kerja yang cemerlang. Bukan macam mak cik-mak cik yang lain. Mulut saja yang rajin pot pet.
            Aku menelan liur. Seribu? Bukan alang-alang. Patutlah rumah ni pun dah jadi macam kedai pemborong gula-gula. Segala macam jenis gula-gula ada. Sampai ada yang mencopet sebiji dua gula-gula untuk santapan sendiri. Macam Uncle Jacklah.  
            “Kalau kita dapat siapkan malam ni, bagus. Esok malam boleh buat persediaan memasak pula,” kata Aunty Rissa seolah-olah mahu menyedarkan semua yang membantu untuk berusaha menyiapkan kerja ini malam ini juga.
            “Kia rasa, baguslah kita menumpukan perhatian pada kerja kita, ya,” tambahku dengan nada bergurau supaya tak adalah yang terasa.
            Aku sedar, walaupun sudah beberapa kali aku dan Aunty Rissa menyindir mak cik-mak cik yang lain untuk berhenti bercerita kosong dan cuba fokus dengan kerja, tak ada yang berkesan. Akhirnya, aku menyimpulkan itu memang sudah lumrah wanita.
            Dari jam 8 malam sehinggalah jam 10 malam, kerja kami masih tak siap-siap juga. Kaki dan belakangku sudah kebas gara-gara terlalu lama duduk menyimpuh. Ku lihat, Kayla sudah beberapa kali menyambut panggilan dari tunangnya. Entah apa yang dibincangkan, aku malas nak ambil tahu.
            Bahagiakah Kayla sekarang? Aku tertanya-tanya. Dalam suasana riuh dan memenatkan macam ni. Tambahan lagi dengan perkahwinan yang 100% manual. Maksudku, dengan cara tradisional tanpa bantuan perancang majlis dan caterer. Ini semua atas permintaan mak dan bapa dialah. Katanya nak mengekalkan cirri-ciri tradisional di kampong. Hmm.. Entahlah. Aku tengok air mukanya semakin kusut apabila menerima panggilan tunangnya, Jerry. Apalah agaknya masalah mereka? Tapi, bukankah mereka saling mencintai, mempercayai dan memahami antara satu sama lain? Dan bukankah mereka sanggup merenangi lautan api untuk mempertahankan cinta mereka?
            Eh, apasal aku pula yang lebih-lebih ni. Jauh sangat fikiranku melayang sampai membayangkan lautan api, yang tak wujud pun di atas muka bumi ini. Lautan api konon, laut Cina Selatan pun aku rasa tak dapat direnangi dengan mudah. Itulah yang dikatakan madah cinta. Kononnya cinta. Cintalah sangat.
            “Kia, boleh tak tolong aku pergi ambil barang di kereta Jerry?” permintaan Kayla mematikan kesinisan suara hatiku tadi.
            “Jerry ada sinikah?” tanyaku bingung. Sejak tadi tak nampak batang hidungnya, tiba-tiba namanya disebut.  
            “Dia baru sampai. Aku suruh dia hantar barang-barang untuk majlis nanti,” beritahu Kayla lagi sambil tersenyum. Jelas kelihatan lesung pipit di pipi kanannya. Cantik manis betul sepupuku ini.
            “O.. Jomlah,”
            Kami turun ke bawah. Kulihat Jerry sudah berbual-bual dengan bapa Kayla, Uncle Jusin. Segak bergaya juga walau sudah malam begini. Tidaklah bertuksedo, tapi cukup kemas dengan t-shirt birunya. Bila kami menghampiri, Jerry terus berpandangan dengan bakal isterinya. Amboi, aku langsung tidak dipandangnya. Sekilas pun tidak. Begitulah kalau orang yang dilamun cinta. Hanya kekasih hatilah yang dapat dilihat. Aku sengaja berdiri jauh sikit dari mereka sementara berbual sebentar dengan Uncle Jusin yang juga mengundur diri dari bakal pengantin.
            “Em, uncle. Di mana nak simpan barang-barang ni?” suara seorang lelaki muda kedengaran dari belakangku. Pantas aku menoleh dan mendepani pemilik suara itu. Tak sopan juga membelakangi orang yang sedang bercakap.
            “Mari letak di dalam. Uncle tolong bawakan yang lain,” Ujar Uncle Jusin sambil menawarkan untuk mengangkat barang-barang yang kelihatan memenuhi kedua-dua tangan lelaki itu. Kesian juga aku lihat.
            “Okay,” balas jejaka itu kemudian menyerahkan beberapa beg plastic kepada Uncle Jusin.
            Eh, tunggu sekejap. Aku rasa aku pernah tengok muka jejaka ini. Aku pasti bukan di tv atau majalah. Secara live. Tapi aku sendiri tak pasti bila. 

Tuesday, July 3, 2012

Black & White 6

Adrian mencari-cari stoking hitam untuk dipadankan dengan seluar slack hitamnya. Laci almari ditarik sekali lagi. Isi di dalamnya diimbas untuk mencari sepasang stoking. Gumpalan kain yang hampir berbentuk sfera mendapat perhatiannya. Sesaat kemudian, benda itu berada dalam gengaman tangannya. Gumpalan itu dileraikan. Rupanya, itulah stoking yang dicari-carinya.
                “Apa hal Petra buat stoking aku jadi bola?” Adrian mengomel sendirian sambil menyarungkan stoking itu pada kakinya. Lima minit masanya terbuang untuk mencari stoking hitam itu.

                Selesai berpakaian, Adrian mengatur langkah ke tingkat bawah. Niatnya mahu memberitahu pembantu rumah mereka, yang sangkanya masih lagi Petra tentang hal stoking itu. Dia tak perlukan kretiviti ke atas barang-barang peribadinya.
                Hari ini genap tiga hari Nina bekerja di rumah agam itu. Kebetulan pagi itu dia datang awal. Jadi dia sengaja berdiam di dalam dapur dan menyibukkan diri membantu Mak Nah untuk mengelakkan diri dari bertemu dengan orang yang tidak diingini. Dia sudah terselamat dari Tuan Adrian selama dua hari dan dia berharap dia akan selamat untuk tiga bulan yang akan datang.
                “Petra..Petra,” suara lelaki kedengaran memanggil-manggil dari luar dapur.
                Rasanya dia kenal pemilik suara itu. Tapi siapakah Petra? Fikir Nina seketika lalu menoleh kea rah Mak Nah yang sedang sibuk membancuh teh.
                “Petra tu pembantu lama. Kamu pura-pura sajalah jadi Petra kalau tak nak Tuan banyak cakap,” Mak Nah berbisik ketika suara lelaki itu kedengaran semakin hampir.
                Gulp. Nina sempat menelan liurnya. Agaknya kenapakah lelaki itu mencari pembantu rumah pada awal-awal pagi begitu? Adakah rahsianya akan terdedah pada hari ini?
                “Petra.. Ah, sinipun awak,” suara Adrian kedengaran dari pintu dapur.
                Nina dan Mak Nah berpandangan. Mak Nah menghantar isyarat mata yang Nina tafsir  bermaksud ‘pandai-pandailah kamu jaga diri’. Nina menarik nafas panjang dan masih membelakangi lelaki itu. Usah tergesa-gesa memalukan diri sendiri, dia mengingatkan diri.
                “Selamat pagi Tuan Adrian,” Mak Nah mengangkat dulang berisi teko dan berlalu ke ruang makan.
                “Selamat pagi, Mak Nah,” Adrian memberi laluan kepada wanita gempal itu.
                ‘Matilah aku kali ni. Matilah!’ Nina sudah hampir putus asa. Dia sempat memejam mata untuk mengumpul kekuatan.
                “Petra, saya tak nak awak buat stoking saya macam bola lagi. Letak saja di dalam laci macam biasa. Tak payah nak guna teknik origami,” ujar Adrian tegas.
                Teknik origami? Origami kan guna kertas. Apa kaitannya pula dengan stoking? Nina kebingungan. Dia masih tak faham kenapa dia disergah sebegitu awal-awal pagi begitu. Seingatnya dia tak ada melakukan kesalahan semalam. Dia cuma menggulung stoking dan membuatnya dalam bentuk gumpalan supaya salah satu pasangan stoking tidak hilang. Ah, mungkin fasal itulah si Adrian menjerit-jerit di pagi hari, Nina baru tersedar.

                “Awak dengarkah, Petra?” Suara Adrian masih kuat.
                “Ya, Tuan,” Nina mengubah suaranya sedikit agar kedengaran lembut dan supaya tidak dicam oleh Adrian.
                Sebentar kemudian, Nina dapat merasakan lelaki itu telah pergi dari sana. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Lega! Tiada bayang sesiapa pun di sana.
                “Dasar cerewet. Itu saja pun nak bising. Hairan aku,” Nina merungut separuh berbisik sambil mengangkat kuali untuk dicuci di singki.
                ‘Rupanya, dia sangka aku ni Petra. Betul-betul majikan yang tak prihatin. Sedangkan Petra dan hampir sebulan berhenti. Tapi tak apa. Baguslah kalau dia fikir aku ni Petra. Rahsia aku pun akan selamat.’  Nina bercakap-cakap dalam hatinya sambil menggosok kuali dengan span dan sabun.

***
Jutaan, bahkan tak terkira rintik hujan jatuh menimpa bumi, menghasilkan muzik yang memekakkan. Angin dingin musim tenghujuh di bulan Julai dapat dirasakan di dalam rumah agam walaupun segala jendela dan pintu sudah ditutup rapat.
                Nina tergesa-gesa memasuki bilik Cik Erika untuk menutup langsir yang dibukanya pagi tadi. Walaupun dia pasti dia tidak membuka jendela kaca itu, tapi dia bimbang kalau-kalau air hujan dapat memasuki celah-celah rekahan jendela.
                “Cik Rika?” Nina terperanjat. Dia langsung tidak menyangka yang gadis itu berada di biliknya pada waktu begini. Biasanya gadis itu hanya akan balik pada pukul lima dan ke atas.    
                Erika Rianna terkebil-kebil sambil meniarap menghadap laptop di atas katil queennya. Gadis chubby itu kemudian bangun perlahan-lahan sambil menunjukkan muka serius yang menggentarkan hati Nina.
                “Tolong jangan beritahu Mama fasal hal ni. Rika ponteng kelas tuisyen hari ni,” Gadis itu seakan-akan memberi amaran.
                Nina menelan air liurnya sambil terus bertentang mata dengan si gadis berusia 15 tahun itu. Senyuman diberikan.
                “Okay. Cik jangan risau. Tapi kenapa cik ponteng kelas tuisyen hari ni? Cik tak sihat kah?” Nina cuba berdiplomasi.
                Air muka Erika berubah perlahan-lahan. Dia tidak lagi memakai rupa serius seperti abangnya. Wajahnya kini lembut dan lebih ceria. Matanya tidak lagi tajam merenung Nina.
                “Rika tak suka tutor tu. Garang sangat. Lagipun Rika belum siap soalan Algebra yang diberi semalam,” luah Erika dengan perasaan tidak puas hari yang sangat jelas kelihatan. Lagaknya macam mereka berdua sudah kenal lama.
                “Tutor tu perempuan atau lelaki?” Nina cuba menggali cerita di samping cuba menjalin kemesraan dengan si gadis berkulit gebu itu.
                “Perempuan. Muda lagi tapi perangai macam mak nenek. Meleter saja. Orang bayar dia untuk mengajar bukan membazir air liur,” Erika terus meluahkan apa yang terbuku di hati. Nina menyambut dengan ketawa kecil.
                “Patutlah. Mungkin dia desperate sebab tak ada boyfriend kot,” Nina menokok tambah lantas ketawa terkekek-kekek. Tak sedar dia sudah duduk di kaki katil. Erika pun ikut mengekek. Instant chemistry terjalin antara mereka.
                “Mungkin juga. Sebab muka dia 24 jam tegang macam pakai botox. Kalau begitulah gayanya, memang betullah dia tak ada boyfriend lagi,” Erika kini ketawa terbahak-bahak. Baru puas hatinya dapat menyuarakan rasa geram terhadap si tutor garang tu.
                “Jadi cik nak buat apa sekarang? Takkan nak ponteng setiap kali?” Nina menimbulkan persoalan yang logik dan berpandangan jauh.
                Erika terdiam. Dia menggigit hujung jari telunjukknya menandakkan kegugupan. Dia pun tidak tahu apa yang perlu dia lakukan selepas ini. Dia serba salah. Kalau dia meminta untuk menukar tutor lagi, pasti mamanya tak akan setuju kerana sudah tiga kali dia menukar tutor. Lagipun, dua bulan lagi dia akan menghadapi peperiksaan PMR.

                “Boleh kakak tengok soalan Algebra yang Cik belum siap lagi tu?” Nina sengaja bertanya untuk menghilangkan kesunyiaan yang melanda. Kesian juga dia melihat gadis muda itu berfikir panjang.
                Erika memandang Nina dengan pandangan tidak percaya. Matanya terkebil-kebil lagi, seakan tidak mempercayai apa yang didengarnya. Tapi kemudian dia mengangguk perlahan dan mencari buku latihannya di atas meja.
                ‘Eh, budak ni. Dia fikir aku cincai!’ Nina bermonolog. Dia tahu Erika pasti menganggapnya sama seperti pembantu rumah yang lain. Nina mengandaikan ciri-ciri umum pembantu rumah di mata Erika dan di mata kebanyakan anggota masyarakat termasuklah tidak berpendidikan, lemah, miskin, rendah, kesian, tak bijak dan tak ada rupa. Hish! Fikiran sempit!
                “Nah, ini soalannya,” Erika menunjukkan halaman buku yang tertulis beberapa soalan. Kemudian duduk semula di atas katil sambil memperhatikan Nina dengan pandangan yang ragu-ragu.
                Nina membaca soalan. Masa tingkatan tiga dulu dialah yang paling hebat matematik dalam kelas. Persamaan serentak, Algebra, mengira sudut bulatan dan segi tiga, lokus, dan lukis segitiga merupakan makanan baginya. Bagilah apa saja jenis soalan, dia pasti dapat jawapannya. Tapi bila dah naik tingkatan empat dan bertemu dengan si Matematik Tambahan, dia terpaksa menyerah. Cara menjawab soalannya terlalu bergaya dan bersimpang siur. Sempat lagi terlupa formula masa menjawab. Bukan macam soalan Matematik moden yang banyak jalan pintas. Jadi akhirnya, dia dapat 7D saja untuk subjek itu.
                “Pensil,” Nina menadahkan kanannya tangannya. Kalau setakat soalan Algebra tingkatan 3, kacang menglembu saja. Bolehlah dia berlagak sikit di depan anak orang kaya ini.
                Erika menghulurkan pensil kayu sambil terus memerhatikan Nina dengan pandangan tidak percaya. ‘Bolehkah dia jawab ni?’ Erika berkira-kira. Apabila pembantu rumah itu mula menulis, Erika merapatkan diri untuk melihat apa yang ditulis. Dia terlopong seketika melihat kehebatan Nina menjawab soalan-soalan Algebra itu dengan begitu mudah. Seolah-olah Nina mencoret-coret saja. Dalam beberapa minit saja semua soalan sudah siap dijawab.
                “Cuba Cik periksa jawabannya,” pinta Nina sambil menghulurkan buku latihan itu semula kepada Erika yang masih terpinga-pinga tidak percaya. Dah siap? Biar betul!
                Erika memeriksa jawaban bagi satu-persatu soalan itu. Soalan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga akhir semuannya betul! Tepat! Perfect!
                “Wow! Amazing!” puji Erika kekaguman. Dia tersenyum tidak percaya. Sungguh tak disangka pembantu rumah baru mereka itu merupakan seorang yang bukan calang-calang.
                “Kalau cik nak, kakak boleh ajar cik sikit-sikit,” Nina menawarkan namun masih merendah diri. Sikit-sikit kononya. Padahal besar niat disebaliknya. Bak kata peribahasa kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.
                “Sudah semestinya. Rika ada idea bagus. Macam mana kalau kakak saja yang jadi tutor peribadi Rika. Dengan cara ni tak payah lah Rika datang tuisyen dengan si Garang tu lagi,” Erika tersenyum lebar kesukaan. Pembantu rumah mereka yang baru itu sudah menyalurkan suatu idea yang bagus!
                Nina berfikir sejenak. Bijak! Lagipun selalunya pada sebelah petang kerjanya sudah hampir habis dan kadang-kadang dia menganggur. Apa yang penting dia akan dapat gaji lebih.  Nina berketawa besar dalam hatinya. Peluang yang baik jangan dipersia!
                “Nyonya Maria tak marahkah nanti?” Nina pura-pura bertanya supaya taklah ketara sangat yang dia beriya-iya.
                “Mama pasti akan setuju. Lagipun di rumah kan lagi selamat,” Erika meyakinkan.
                “Kakak okay saja, yang penting Cik selesa,”
                Dalam hatinya, Nina bersorak gembira. Kecil tapak tangan, dulang aku hulurkan.    
***

Monday, July 2, 2012

Cerita Hati

Cinta yang Abadi

“I feel it in my fingers, I feel it in my arms..”
Aku ikut menyanyi lagu “Love is all around” nyanyian Wet Wet Wet tatkala mendengarkan lagu itu dimainkan di corong radio. Sudah agak lama aku tidak mendengar lagu ini. Nostalgia lama berkepul-kepul dalam ingatan.
Cinta ada dimana-mana. Begitulah maksud lagu yang sedang memenuhi ruangan bilikku ini. Iramanya yang sedap dan mengena dengan mood aku petang ini membuatku tersenyum sendiri. Aku mengabaikan seketika novel bergenre thriller karya Ramli Awang Murshid. Segera aku mendapatkan album lama berwarna merah jambu di dalam laci meja solekku. Tiba-tiba, aku teringat zaman sekolah dulu. Ingin sekali aku mengimbas masa-masa indah itu sekarang.
Gambar gadis bermuka bulat dan bertubuh “chubby” menjadi perhatianku. Itulah aku sewaktu di tingkatan tiga. Aku tersenyum. Jelas sekali waktu itu aku masih lagi kebudak-budakkan dan polos.
Tipulah aku kalau mengaku tak pernah tertarik pada mana-mana lelaki. Sejak sekolah rendah aku sudah pandai menyukai budak lelaki yang lebih tua dariku. Ya, memang seronok rasanya menyukai seseorang itu tapi perasaan itu tak kekal lama. Apa lagi kalau orang yang disuka tak memberikan respon yang diharapkan.
            Melangkah ke sekolah menengah, perasaan itu semakin menjadi-jadi. Entah kenapa. Permainan hormone agaknya. Aku masih ingat perasaan ku ketika bertentang mata dengan Ken, lelaki pujaan semasa di tingkatan satu dulu. Berdebar-debar, berbunga-bunga. Pelik sungguh. Itu bukanlah yang pertama dan terakhir. Banyak yang menyusul, tapi satu pun tiada yang mengena. Yalah, siapa yang nak berdampingan dengan remaja perempuan yang biasa-biasa saja macam aku pada ketika itu. Akhirnya aku jugalah yang bertepuk sebelah tangan.
            Satu persatu lembaran album lama itu kuselak. Dah lama rasanya tidak melihat-lihat gambar lama ini. Senyumanku menyelit ketika mengamati gambar kelas sewaktu di tingkatan lima dulu. Aku masih ingat benar pada geng keras ku sewaktu itu, Jen, Ida, Delina, Sherry, Zana, Fren dan Tiffy. Apa agaknya khabar mereka sekarang ini? Tiba-tiba pula aku merindui sahabat lama ini.
            Aku terus menyelak. Senyumanku memanjang apabila terpandang gambar yang diambil pada hari sukan sekolah ketika aku berada di tingkatan satu. Aku tiada sebab untuk berasa bangga dengan gambar ini, kerana ketika itu aku langsung tidak mengambil bahagian dalam mana-mana acara. Lagipun aku kelihatkan begitu… Skema. Sukar untuk mengakuinya sekarang tapi itulah kenyataannya. Dalam gambar itu, aku duduk di antara Delina dan Milia, rakan sekelas ketika itu. Rambutku diikat ekor kuda dengan sangat kemas sambil berpakaian sukan sekolah yang bersaiz XL. Bila difikirkan semula memang agak memalukan. Pada waktu itu aku memang boleh dikategorikan sebagai gempal tapi tidaklah sampai saiz XL. Aku cuma kehabisan baju bersaiz L kerana terlambat menuntutnya di koperasi sekolah. Kalau saja aku diberikan pilihan untuk mengubah sesuatu di masa lalu, aku ingin mengubah penampilanku pada usia remajaku. Biar nampak hebat sikit. Kalau tak cantik pun, sekurang-kurangnya kelihatan comel. Ah, apakan daya. Tiada apa yang mampu kuubah sekarang.
            Baru saja aku mahu menyelak gambar itu, aku terpandangkan seseorang yang secara tidak sengaja termasuk dalam gambar itu. Aku menelaah wajah remaja lelaki itu. Tak mungkin aku lupa wajah itu. Wajah itu milik seorang remaja lelaki yang pernah membuatku malu di hadapan para pengawas. Dia tiga tahun lebih tua dari ku. Ketika aku berada di tingkatan satu, dia berada di tingkatan empat. Tak guna! Kenapalah dia ada dalam gambar nostalgia ini? Tiba-tiba dendam yang telah lama terkubur, muncul semula.  
            “Kia, mari makan,” laung papa dari tingkat bawah. Aku tersentak. Lantas segera kututup album lama itu dan bergegas turun. Kalau aku berlambat-lambat lagi, alamatlah satu taman perumahan akan mendengar namaku dilaung-laung.   
            “Buat apa di atas tu?” Tanya mama sejurus melihat kelibatku. Aku tidak menjawab terus. Aku mengambil tempat duduk terlebih dahulu.
            “Membaca,” bohongku. Malas ditanya macam-macam lagi kalau berterus-terang.
            Selesai doa makan dibacakan. Kami tiga beranak menjamu selera dengan sederhananya. Mama dan papa sangat menitik beratkan soal kesihatan. Makanan berlemak dan tidak menyihatkan jarang menjadi hidangan. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Aku pun selesa dengan makanan sebegini. Tawar-tawar pun kurasa sedap juga. Tambahan pula, bolehlah jaga badan.
            “Bila abang Ryan balik?”aku bertanya, menamatkan suasana sunyi yang mengantarai masa makan kami.
            “Bulan depan. Katanya di New Zealand sekarang ni musim sejuk,” jawab mama kemudian membawa cerita dari abangku yang jauh berada di bahagian hemisfera selatan. Tiba-tiba aku merindui satu-satunya abangku itu.
            “Memang pun. Sekarang kan dah masuk bulan Julai,” sahut papa sambil menceduk sayur campur.
            “Dia dah ada girlfriend kah di sana, mama?” aku sengaja bertanya soalan yang melencong sikit. Saja nak usik mama.
            “Eh, manalah mama tahu. Mama kalau boleh tak naklah dia tersangkut dengan gadis orang putih ni. Banyak lagi sumandak di Sabah ni yang boleh dijadikan girlfriend. Tak payah susah-susah angkut orang jauh,” mama mula mengomel.
            “Biarlah kalau dia nak ada girlfriend orang putih pun. Dia bukan budak kecil lagi. Suka hatilah dia nak pilih gadis mana. Kita sebagai orang tua kena sokong apa saja pilihan dia. Asalkan tidak memudaratkan siapa-siapa,” ujar papa pula. Aku secara peribadi lebih setuju dengan pendapat papa.
            “Susahlah, pa kalau orang putih ni. Bukan kita tak tahu cara hidup mereka,” mama masih bertahan dengan pendapatnya. Kulihat, selera mama menurun sedikit.
            “Tak ada yang susah. Sekarang ni zaman moden. Semua boleh jadi senang. Lagipun, kalau si Ryan tu kahwin orang putih, kan kita juga yang dapat cucu-cucu yang lawa-lawa,” balas papa berseloroh.
            Aku ketawa kecil mendengar kata-kata papa. Betul juga cakap papa. Selalunya anak-anak berdarah campuran ni mempunyai raut wajah yang cantik-cantik dan kacak-kacak. Kalau ada rezeki, aku naklah kahwin orang putih juga.
            “Hah, yang Kia ketawa-ketawa sendiri ni kenapa? Kia tu bila pula nak ada boyfriend?” kini aku yang menjadi mangsa mama. Aku memandang papa, cuba mencari sokongan. Tapi papa seakan-akan tidak kisah, malah makan dengan berselera lagi.
            “Alah, mama ni. Kan mama pernah cakap dengan Kia supaya jangan cari boyfriend dulu sebelum Kia belanja mama dan papa,” aku memanipulasikan kata-kata mama satu masa dulu. Inilah alasan terbaik untuk soalan mama yang kurasa semakin kerap ditanya akhir-akhir ni.
            “Cik Izkia oi, seingat mamalah, itu nasihat mama masa Kia tahun pertama di university dulu. Sudah lebih lima tahun tu, sayang. Jangan nak bagi alasan yang buat mama rasa serba salah pula. Sekarang mama tak larang-larang lagi. Kalau nak cari boyfriend, carilah. Banyak-banyak pun tak apa,” mama mula meleter. Aku berhenti mengunyah lobak merah. Statmen mama yang terakhir tu menarik perhatian ku.
            “Betul ni ma? Banyak-banyak pun tak apa?” aku buat-buat teruja. Sengaja menduga keseriusan mama.
            “Eh, kamu jangan nak jadi bendul. Maksud mama ni carilah pasangan,” mama menjelaskan. Aku masih tersengih-sengih. Takut juga mama ya kalau aku betul-betul cari ramai boyfriend.
            “Tulah mama. Dulu marah-marah si Kia ni cari boyfriend. Sekarang suruh-suruh pula. Patutnya mama benarkan dia ada boyfriend masa di university lagi. Banyak pilihan. Kan sekarang dah susah. Paling-paling pun, si Yale sajalah yang Kia pandang setiap  hari,” papa menyokongku sambil menokok tambah. Aku ketawa kecil hati apabila papa menyebut tentang Yale, si kucing kuning jantan ku.
            “Sudahlah. Malas mama nak cakap fasal ni lagi,” mama menyambung makannya yang terganggu seketika tadi gara-gara membincangkan perkara ku. Mama sendiri juga yang menyusahkan fikiran.
            “Mana Tamara dan Kathy? Dah lama tak datang rumah,” tanya papa mengalih topic perbualan.
            Pertanyaan papa mengingatkan aku kepada dua orang sepupu ku itu. Rupanya sudah agak lama aku tak menghubungi mereka. Maklumlah sibuk dengan urusan masing-masing. Entah apalah cerita terbaru mereka sekarang. Tiba-tiba hatiku rasa tak sabar nak melepak dengan gadis berdua itu. 

*sumandak = gadis dalam bahasa Dusun