Menjelang tengah hari, Nina sudah
menyiapkan semua kerjanya. Semua kain sudah siap dicuci dan dijemur. Dia hanya
akan menggosok pakaian pada waktu petang. Kerja terakhirnya tadi ialah
membersihkan kawasan kolam renang. Dia tak perlu risau perihal
tumbuhan-tumbuhan dan bunga-bungaan kerana tukang kebun iaitu Pak Dani yang
akan menguruskannya.
Nina
duduk di kerusi taman yang disediakan berhampiran kolam renang, di bawah
balkoni. Dia menarik nafas cuba melepaskan keletihannya akibat bekerja tanpa
henti sejak jam 8 pagi tadi. Penyapu ditangannya digunakan untuk menongkat
dagu.
Dia
terfikirkan cadangan Cik Erika tempoh hari berkenaan menjadi tutor peribadi
gadis molek itu. Setujukah Nyonya Maria? Dia tertanya-tanya. Kalau cadangan itu
diterima, gajinya pasti akan naik lagi. Cukuplah untuk menampung kehidupan
keluarga sementara dia mencari-cari pekerjaan yang lain.
Deruan
enjin Mercedez Benz yang selalu dibawa oleh pemandu untuk menghantar dan
menjemput Erika ke dan dari sekolah kedengaran memasuki garaj. Nina cepat-cepat
bangun dan bersembunyi disebalik tiang besar sambil mengintai siapa yang akan
keluar dari perut kereta mewah berwarna silver
metallic itu.
Tidak
berapa lama kemudian, seorang gadis berpakaian seragam sekolah menengah keluar
dari perut kereta sambil menjinjing buku-buku sekolah. Raut wajahnya kelihatan
ceria dan berseri-seri. Gadis itu menyanyi-nyanyi kecil ketika memasuki rumah.
Nina
mengukir senyuman lebar. Dia yakin kerjayanya sebagai tutor akan bermula pada
petang ini. Dia mengatur langkahnya pantas menuju ke ruang tamu untuk menemui
Cik Erikanya.
“Selamat
tengah hari, Cik Rika. Awal balik hari ni,”sapa Nina mesra sambil penyapu masih
lagi dalam tangannya. Gadis muda itu baru sahaja menanggalkan kasutnya di pintu
masuk.
“Ya.
Berita gembira. Mulai hari ini kakak akan jadi tutor peribadi Rika,” Rika
mengumumkan dengan penuh keterujaan. Mukannya kelihatan begitu gembira.
“Betulkah
ni?” Nina sengaja menduga lagi walaupun sebenarnya itulah berita yang paling
diharapkannya sekarang. Dia mahu kelihatan teruja dan gembira sama seperti
Erika.
“Yup.
Mama dah setuju semalam. Petang nanti mama akan jumpa kakak untuk bincang fasal
ni. So, petang ni kita mula jam 3 hingga jam 5. Okay?” ujar gadis molek itu
masih dalam mode ceria. Senyumannya masih mekar di bibir.
“Okay,
Cik Rika,” balas Nina dengan reaksi serupa.
“Ooppss. Don’t call me that. Just call me Rika.
Oh, ya. Beritahu Mak Nah siapkan lunch. Saya dah lapar ni,” Erika meraba
perutnya.
“Baik.
Rika nak kakak tolong bawa beg ke atas?” Nina menawarkan.
“Eh, it’s okay. I carry it myself,” Erika
menolak kemudian berlalu ke tingkat atas.
Nina
memerhatikan gadis itu sehingga ke tingkat atas. Kemudian dia berlari anak
menuju ke dapur dengan wajah gembira.
“Mak
Nah, mulai hari ni saya akan jadi guru tuisyen, Cik Rika,” Nina segera
mengongsikan cerita gembira itu dengan rakan sekerjanya yang sedang menggaul
sup.
“Baguslah.
Kamu tu kalau pun gembira simpanlah dulu penyapu tu. Karang ada yang terpukul
dek batang penyapu tu,” Mak Nah mengingatkan apabila melihat Nina menghayun
penyapu di tangannya ketika menghampirinya. Takut juga dia terkena penyapu tu
nanti.
“Eh,
maaf. Exited sangat ni,” Nina
tersengih kemudian menyimpan penyapu itu diluar pintu. “Jam berapa kamu mula nanti?” Mak Nah bertanya
kemudian merasa sup ayam yang direnihnya.
“Jam
tiga. Dah siap masak ke? Rika kata dia dah lapar,”Nina menghampiri dapur untuk
melihat sendiri sup yang dimasak Mak Nah.
“Dah
hampir siap ni. Boleh tak tolong sendukkan nasi?” pinta Mak Nah yang tak menang
tangan nak uruskan semuanya sekali.
“Okay,
boss,”
Nina
senang hati mengerjakan arahan Mak Nah. Dia menghidangkan nasi yang telah siap
disenduk di atas meja makan. Kemudian dia masuk lagi untuk mengambil pinggan
dan kutleri. Mak Nah pula sibuk menghidangkan lauk-pauk di atas meja. Dia
memang akan memasak setiap hari walaupun tidak pasti tuan rumah akan pulang
makan atau tidak. Kalau tak ada yang pulang makan, dia, Nina dan pekerja
lainlah yang untung.
Dalam
sibuk-sibuk mengurus meja, kedengaran lagi bunyi kereta memasuki perkarangan
rumah. Nina yang sememangnya sensitif dengan bunyi kereta menoleh ke bahagian
depan rumah. Mana tahu orang yang tak diingini muncul. Kalau dia tahu awal,
bolehlah dia buat apa yang patut untuk menyelamatkan diri.
“Itu
mesti Tuan Mikhail,” beritahu Mak Nah sambil mencedukkan nasi ke dalam pinggan.
Nina
segera menyembunyikan diri di dalam dapur. Kalau boleh dia tak nak bersemuka
dengan Tuan Mikhail itu. Manalah tahu bila Tuan Mikhail tahu siapa sebenarnya
dia, Tuan Adrian pun akan tahu nanti. Mak Nah hanya menggeleng melihat keanehan
sikap Nina itu.
“Petra!”
Nina
menelan liurnya. Panggilan itu menandakan dia diperlukan. Dia gelisah. Dia
serba salah sama ada tetap berada di dapur atau pergi berdepan dengan Tuan itu.
“Nina.
Pergi cepat. Tuan Mikhail panggil tu,” Mak Nah bersuara perlahan. Sangkanya
Nina tak mendengar panggilan itu.
Mahu
tidak mahu, Nina memberanikan dirinya untuk berdepan lelaki itu. Dia berjalan
pantas menuju ke ruang tamu sambil menyahut, “Ya, Tuan,”. Nina menunduk ketika
menghampiri ruang tamu. Dia mencuri pandang lelaki itu yang sedang menanggalkan
kasut kulitnya berhampiran pintu besar.
“Ya,
tuan,” Nina bersuara semula untuk menandakan kehadirannya di sana.
“Rika
dah balik ke?” tanya lelaki itu sambil menanggalkan stokingnya.
“Ya,
tuan,” balas Nina pendek.
“Dia
dah makan?”
“Belum
lagi,”Nina semakin gugup. Banyak pula pertanyaan orang ni, rintihnya sambil
menunduk.
“Kalau
macam tu sediakan makan tengah hari. Kami akan makan bersama sekejap lagi,”
beritahu Mikhail kemudian memandang pembantu rumah itu. Dia memandang perempuan
itu dengan lebih teliti. Setahunya Petra berkulit sedikit gelap. Tapi perempuan
yang sedang berdiri di depannya ini berkulit cerah. Satu-satunya persamaan di
antara perempuan itu dan Petra hanyalah pada bentuk tubuh mereka yang kecil. Pembantu
rumah itu bukan Petra!
Nina
hanya mengangguk. Kemudian cepat-cepat berpaling
untuk pergi dari hadapan Mikhail. Dia takut ketahuan yang dia sebenarnya
bukanlah Petra.
“Petra,
awak pakai krim fair and lovely ke?”
Mikhail sengaja menguji. Dia mahu tengok reaksi pembantu rumah baru yang
mengaku namanya Petra itu terhadap soalannya.
Langkah
kaki Nina mati. Apakah jadah tuan ni tanya fasal krim muka segala ni? Dia serba
salah hendak jawab apa. Tapi akhirnya dia mengiyakan saja, takut pertanyaan itu
akan berganda. “Ya, tuan,”
“Patutlah.
Kamu buat pembedahan plastik ke?” tanya Mikhail lagi. Kali ini dia tersenyum
geli hati menyaksikan reaksi kaku perempuan yang masih membelakanginya itu.
Dengan
soalan itu, Nina memejam mata untuk cuba menelan kenyataan yang pahit. Dia
sedar yang Tuan Mikhail berhak mengetahui identiti dia sebenarnya. Dengan penuh
penyesalan, Nina berpaling dan mendepani Mikhail sekali lagi. Kali ini, dia
tiada pilihan lain kecuali berterus terang.
“Eh, Abang Mike,”
Perhatian
Mikhail beralih ke arah tangga. Kelihatan Erika sedang berlari-lari anak
menuruni tangga dengan wajah penuh keceriaan. Dia ikut tersenyum. Kemudian
matanya beralih semula kepada Nina yang masih menunduk.
“Hai,
Rika. Rika tahu tak yang Petra dah buat pembedahan plastic?” Mikhail sengaja
mengenakan Nina yang sedang dilanda rasa malu.
Rika
tergelak, lucu dengan gelaran yang diberikan Mikhail kepada pembantu rumah
mereka yang baru itu. Matanya memandang abang sepupunya dan pembantu rumah
mereka bersilih ganti.
“Abang,
ini kak Ninalah. Bukan Petra. Petra dah hampir dua bulan berhenti kerja,” Rika
menyambung tawanya.
“Jadi
selama ni Nina nilah yang menyamar jadi Petra, ya,” Mikhail memandang Nina
dengan senyuman nakal.
Nina
memberanikan diri untuk membalas pandangan Mikhail. Dia mesti membuat
penjelasan yang munasabah kenapa dia tidak memperkenalkan dirinya yang sebenar
sejak dari mula lagi.
“Maafkan saya, tuan. Saya cuma tak nak
menyusahkan tuan untuk ingat nama saya sebab tuan dah biasa dengan Petra.
Lagipun saya tak ada masalah kalau tuan panggil saya dengan gelaran tu,” Nina
memberikan alasan yang dia rasakan logic dan boleh diterima akal.
“Mana
boleh macam tu. Awak sepatutnya kenalkan diri awak sejak hari pertama awak
bekerja. Kalau ada apa-apa terjadi macam mana?” Mikhail tidak menerima alasan
Nina. Pembantu rumah itu hanya mendengar dan menundukkan kepalanya semula.
“Saya
minta maaf, tuan. Memang salah saya,” Nina akhirnya mengakui kesalahannya.
“Baiklah.
Saya maafkan. Siapa nama awak tadi?”
“Saya
Nina binti Hashim, tuan,” Nina masih menunduk, rasa malu dan segan menguasai
diri. Dia rasakan dirinya sungguh kerdil berdiri di depan jejaka bernama
Mikhail itu. Tanpa dia sedari, lelaki itu memerhatikan raut wajahnya dengan
teliti dengan senyuman nipis terukir dibibirnya.
“Dah
siap merenung ke bang? Jomlah kita makan. Rika dah lapar ni,” Erika mula
merengek kerana belum ada tanda-tanda yang Mikhail akan bergerak dari situ.
Bagai
dikejutkan dari mimpi, Mikhail tersedar dari lamunanya sebentar tadi. Raut
wajah manis pembantu rumah baru itu mencuri perhatiannya. Rengekkan Erika
membuatnya malu seketika. Rupanya ketara sangat yang dia memerhatikan Nina dengan teliti. Lantas dia bangkit berdiri
dan menghampiri Erika sebelum jalan bergandingan menuju ke meja makan.
“Yalah.
Jom makan,” sahut Mikhail. Dia sempat memerhatikan Nina mengekori mereka dengan
ekor matanya.
Dua
bersaudara itu mulai menjamu selera dengan hidangan lazat yang disediakan Mak
Nah. Nina sudah lama menghilang di dapur setelah menghidangkan minuman. Dia tahu
dia tidak sepatutnya mengganggu ketenteraman mereka.
“Dah
lama ke Nina kerja di rumah kita?” tanya Mikhail kemudian meneguk sedikit air
limau sejuk yang dituang Nina tadi.
“Rasanya
dah dekat satu bulan kot,” balas Erika pendek. Dia terlalu asyik menikmati
kelazatan ayam goreng berempah.
Fikiran
Mikhail masih bertaut pada wajah Nina yang dirasakannya unik. Dia tidak pernah
melihat wajah sebegitu. Dia tidaklah secantik Kamelya. Tapi gadis itu ada daya
penariknya yang tersendiri. Pada raut mukanya, pada lenggok bahasanya, pada
nada suaranya.
“Abang
terpikat ya dengan dia?” Erika mengusik setelah menafsir reaksi muka abang
sepupunya yang sudah berhenti mengunyah itu.
“Tak
adalah. Cuma abang macam tak percaya gadis macam dia boleh kerja sebagai orang gaji,”
luah Mikhail. Nina dalam pandangannya, mampu untuk mendapatkan pekerjaan yang
lebih baik.
“Abang
jangan pandang rendah pada kak Nina. Dia jadi pembantu rumah kita sebab dia
susah nak dapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan dia,” E rika meneguk minuman.
“Apa
kelulusan dia?” rasa ingin tahu mula meguasai Mikhail.
“Dia
ada degree dalam Sains Pentadbiran. Bukan calang-calang,” Erika melengkapkan
penerangannya.
Mikhail
buat muka tak percaya. Degree? Biar betul! Pembantu rumah ada degree? Merepeklah.
Tiba-tiba dia ketawa sendiri memikirkan ketidak logikkan maklumat yang
disampaikan oleh sepupunya tadi.
“Eh,
Rika bukan main-main. Betul. Kak Nina tu ada Degree,” Erika menegaskan. Orang
cakap betul-betul dia ingat main-main pula, rungut Erika dalam hati.
“Okey.
Apa buktinya?” Mikhail masih mahu menyambung ketawanya.
“Dia
akan jadi tutor Rika mulai hari ini. Kak Nina hebat Maths tau,”
“Hah?”
“Terserahlah
kalau nak percaya ke tidak. Rika dah cakap yang sebenar-benarnya,” putus Erika
yang menumpukan semula pada makanannya yang tinggal sedikit dalam pinggan.
Mikhail
memandang adik sepupunya itu dengan rupa masih tidak percaya. Dia cuba mencari kebenaran
di sebalik kata-kata Erika dan memikirkan kemungkinan daripada kata-kata itu.
Orang gaji ada Degree?
***
Suasana pejabat sudah ditinggalkan
sejak petang tadi. Namun, tiada bezannya pejabat mahupun rumah bagi Kamelya.
Kedua-dua tempat ini kondusif untuk menyelesaikan kerjanya yang masih berlambak.
Pelan-pelan rekaan projek perumahan bertebaran di atas meja di ruang tamu.
Kamelya harus meneliti sekali lagi pelan-pelan itu sebelum meneruskan projek.
Dia paling tidak suka membuat kerja dua kali. Kalau boleh dia tidak mahu ada
kesilapan langsung dalam pelan itu.
Detak
tapak kaki yang menuruni tangga mencuri seketika perhatiannya. Kamilla, adiknya
yang memakai dress seksi berwarna ungu gelap sedang menuruni tangga. Di
belakangnya, seorang gadis berwajah sederhana sedang mengekori. Sekali imbas,
penampilan gadis belasan tahun itu kelihatan begitu kontra dengan penampilan
adiknya yang glamour itu. Gadis itu hanya mengenakan seluar jeans dan baju
lengan panjang berwarna hitam. Rambut hitamnya yang lurus diikat ekor kuda dan
cap menutupi sebahagian kepalanya.
“Nak
pergi mana malam-malam ni?” tegur Kamelya sambil memerhatikan gerak tubuh
Kamilla yang berlenggok-lenggok secara tidak semulajadi.
“Tempat
biasa. Tak nak join?” balas Kamilla sambil menaikkan keningnya yang dilukis
cantik.
“Malam
ni, aku tak join. I’m very busy. Lena
pun ikut sekali?” tanyanya lagi. Perhatian kini beralih kepada gadis dibelakang
Kamilla. Gadis itu membisu saja sejak tadi.
“Aku
hantar dia balik dulu. She just don’t
know how to have fun,” ujar Kamilla sambil menjeling kea rah kawannya itu
kemudian mengukir senyum mengejek.
“You will learn itu eventually, Lena. Take
your time,” Kamelya seakan memberi nasihat dengan senyuman nipis. Dia
kembali menumpukan perhatian kepada pelan-pelan di atas meja.
Lena
membalas dengan senyuman. Dia tidak mahu membahas apa-apa. Dia begitu jelas
dengan kedudukannya di sana.
“She’ll only learn what fun is after
completing her task. She needs to be mentally stable for my assignments. No
hang over,” Kamilla menambah kemudian mengatur langkah menuju ke pintu
depan dengan lenggangannya yang hampir menyamai tarian dangdut.
“Jangan
balik lewat sangat. Nanti mummy
bising,” pesan Kamelya sebelum adik satu-satunya itu meninggalkan rumah.
“Don’t speak like she really care,”
“Jalan
dulu, kak Kamelya,” Lena menunduk sedikit sebelum berlalu membuntuti Kamilla
yang sudah berada di depan pintu.
“See you tomorrow, Lena,” balas Kamelya
acuh tak acuh. Wajah Lena langsung tidak dipandangnya.
Dasar
budak mata duitan! Kerana duit sanggup menjadi hamba kepada orang lain, bisik
Kamelya disertai senyum sinis.
***
No comments:
Post a Comment