Kononnya Cinta
Logo Veterinarian |
Seperti
biasa, pagi-pagi begini aku sudah berada di klinik, bersedia dengan tugas ku
untuk hari yang baru. Di mana nak cari Doktor veterinar yang berdedikasi macam
aku! Hanya aku yang tahulah. Selalunya klinik aku ni tak ramai pengunjung.
Maklumlah, rakyat Malaysia masih kurang kesedaran tentang kepentingan memberi
rawatan kepada haiwan peliharaan dan ternakan mereka. Kalau mati, matilah.
Agaknya begitulah prinsip kebanyakan rakyat Malaysia terhadap haiwan. Yalah
kan, siapalah haiwan jika dibandingkan dengan manusia.
Dikala aku berfalsafah sendiri,
sayup-sayup kudengar suara Cika yang tenggelam timbul di luar bilik rawatan ku.
Memang tak sah kalau tak riuh di awal pagi. Agaknya tak bermulalah hari
kerjanya kalau tak bising sehari. Tak faham aku. Kubiarkan sahaja. Lagipun
bukan tak biasa.
Pasti si Cika sedang berbual dengan
penjaga kaunter, Kak Jamilah. Kalau tidak pun dengan Lanie, si tukang bersih.
Besar kemungkinan juga dengan si Fazley, si veterinar pembantu yang muda dan
bolehlah dikatakan ada rupa. Selain dari mereka bertiga, sepengetahuan akulah,
tiada orang lain lagi yang berpotensi untuk melayan Cika. Kecualilah, pelanggan
kami atau pun pesakit. Itupun sangatlah kecil kemungkinannya.
“Good
morning, big boss,”
Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu,
Cika terus masuk ke dalam bilik. Kubiarkan saja.
“Pagi. Jual apa pula pagi ni?” aku
sengaja menduga sensitiviti Cika, sebab selalunya dia tak perasan kalau orang
menyindirnya.
“Jual? Tak adalah. Main-main pula
Dr. Kia awal pagi ni,” Cika tersengih-sengih lalu mengambil tempat duduk.
“Ada. Macam biasalah. Jual
temberang,” aku buat-buat serius dalam berbicara. Sengaja menakut-nakutkan si
gadis kecil berbangsa Melayu Brunei itu.
Malangnya, kata-kataku disambut pula dengan hilai tawanya yang dibuat-buat.
“Dr. Kia ni memang pandai bergurau,
kan. Tak apalah Dr. saya keluar dulu. Mana tau si Fazley perlukan apa-apa,”
Aku hanya mampu tersengih. Cika ni
memang spesies yang tak tahu malu. Muka tembok pun ada juga. Tapi aku tak kisah
sangat. Asalkan dia buat kerjanya dengan baik dan sanggup menerima gaji yang
kutawarkan walaupun tidaklah terlalu lumayan. Memang semua pekerjaku diberi
gaji yang cukup-cukup saja dengan jawatan dan kelulusan mereka. Kalau aku mampu
dan sanggup, aku mahu juga membayar gaji mereka lebih sikit, tapi keadaan
benar-benar tak mengizinkan lagi. Aku sedar aku tak boleh bergantumg sangat
dengan bayaran perkhidmatan, kerana itu pasti tidak mencukupi untuk membiayai
klinik kecilku ini. Dengan keadaan ekonomi klinik yang turun naik, aku
terpaksalah guna cara lain untuk menstabilkan pendapatan. Salah satu caranya
ialah menjual barangan keperluan haiwan. Tak kiralah makanan, peralatan, atau
syampu haiwan. Kadang-kadang aku menjadi orang tengah dalam urusan membeli dan
menjual ternakan. Syukurlah, setelah dua tahun klinik aku masih bersedia untuk
berkhidmat kepada mereka yang memerlukan.
Dalam aku memikirkan masa depan
klinik kecilkku ini, telefon bimbit ku bernyanyi nyaring. Ini yang aku tak suka
ni, masa-masa sepi macam ni jugalah ada orang nak telefon. Niat di hati, mahu
membiarkan saja panggilan itu tidak berbalas, tapi akalku menolaknya
bulat-bulat. Lantas tangannya pantas menyeluk beg tangan untuk mencari benda
yang masih menyanyi keriangan itu.
“Hello,ma. Ada apa ni?” aku menjawab
panggilan. Rupanya si mamalah yang menelefonku.
“Kia sibuk tak malam ni?” pertanyaan
dibalas pula dengan pertanyaan.
“Tengoklah dulu, ma. Kan masih awal
lagi ni,” balas ku endah tak endah.
“Ni mesti dah lupa ni. Lusa kan
kahwin anak Aunty Rissa kamu, si Kayla. Kamu tak ingat ke? Malam ni kita kena
datang rumah mereka untuk tolong apa yang patut,” Alamak. Macam mana boleh lupa
pula ni.
Kepala yang tak gatal tiba-tiba
menjadi gatal. Aduhai! Aku mana ada pilihan lain. Kena pergi juga. Aunty Rissa
tu, adik mama. Tak kan tak pergi. Dalam hati kuat mengatakan keenggananku tapi,
bibirku berkata lain pula.
“Saya ingatlah, ma. Sengaja saja tu
menguji mama. Pergi. Wajib pergi,” pandai sangatlah aku membohong.
“Baguslah. Balik awal sikit tu,”
pesan si mama.
“Okay. Jumpa nanti,”
Telefon dimatikan sementara otakku
terus berfikir. Terlintas juga cara nak
escape malam ni!
***
“Ikat kuat-kuat,ya,” laung papa
kepada sepupuku si Rex yang berada di hujung tiang yang sebelah. Tiang yang
diperbuat dari buluh itu digunakan untuk menyokong kemah yang telah dibangunkan
sejak petang tadi. Sekarang, mereka sibuk pula menghias kemah. Pasang daun
kelapalah, pasang perhiasanlah.
Aku menolak pinggang sambil
mendongak keatas, memandang tali yang sudah distaple dengan kertas
berwarna-warni, yang cuba dipasang oleh papa dan Rex. Tak menjadi pula
rancangan escape aku. Bukan apa. Tak sampai hati pula aku main helah
semata-mata mengelakkan diri dari mendengar leteran orang-orang veteran.
Maklumlah saja. Aku ni dah masuk zon kahwin. Tapi tanda-tanda nak kahwin belum
ada.
“Atas sikit lagi, Rex,” arahku macam
mandur.
Rex menerima arahanku. Tali diikat atas
sedikit dari kedudukan sebelumnya, tapi dengan susah payahnya kerana dia berdiri
di atas tangga.
“Kamu buat apa tu,Kia?” kedengaran
suara Nenek memanggil dari beranda rumah. Aku yakin, mesti adalah yang mahu
disuruhnya tu.
“Tolong pasang ini, nek,” balasku sambil
cepat-cepat memegang tali-tali perhiasan di dalam kotak. Saja menampakkan
‘kesibukan’.
“Tolong mengarah adalah,” Rex
tiba-tiba mencelah. Ini yang aku tak suka ni, tak boleh nampak orang senang
sikit. Tak apa. Ada lori, ada bas. Lain hari, aku balas. Nantilah kau T-Rex, si
dinosor.
“Lagi bagus kamu masuk sini tolong
sediakan cenderahati,”
Ya. Itulah arahan nenek yang tak
mungkin ku ingkari. Walaupun aku sudah berusia 27 tahun, nenek tetap ku
sanjungi atau lebih sesuai digeruni. Mahu
tak mahu, aku menapak perlahan ke dalam rumah. Belum masuk sudah kudengar,
suara ria kaum wanita yang sedang bercanda mesra. Ketawa-ketawa dengan penuh
gembira. Entah apalah yang dibualkan tu.
“Masuk pun si Kia ni. Sibuk pula dia
campur urusan lelaki di luar,” Uncle Jack menyambut kedatanganku. Cakap-cakap
orang konon. Sendiri pun menyibuk urusan perempuan. Sepatutnya dia berada di
luar bersama-sama kaum lelaki yang lain. Tak patut betul.
“Biasalah si Kia ni. Dia kan selalu
buat kerja lelaki,” tambah sepupuku, Tania.
Aku hanya mampu tersengih. Kemudian
dengan penuh sopan santun, aku menyimpuh kaki di sebelah Aunty Rita dan mula
memasukkan gula-gula ke dalam kantung kecil berwarna ungu tanpa sebarang
bicara. Dari pandangan mata kasar ku lah, dah lebih dari cukup tenaga kerja
yang diperlukan, tapi masalahnya sebahagian tenaga kerja yang ada tidak
menyumbang tenaga pun. Menyumbang air liur adalah. Terutamanya si Uncle Jack.
Asyik buat lawak saja kerjanya.
“Berapa kita kena buat ni, Kay?”
tanyaku kepada sepupuku yang bakal berkahwin lusa. Wajahnya ku tengok pun dah
semakin berseri-seri. Seri pengantiklah katakan.
“Paling kurang pun seribulah, Kia.
Takut tak cukup nanti,” balasnya sambil tangan begitu cekap memasukkan
gula-gula ke dalam kantung. Dialah
contoh tenaga kerja yang cemerlang. Bukan macam mak cik-mak cik yang lain.
Mulut saja yang rajin pot pet.
Aku menelan liur. Seribu? Bukan
alang-alang. Patutlah rumah ni pun dah jadi macam kedai pemborong gula-gula.
Segala macam jenis gula-gula ada. Sampai ada yang mencopet sebiji dua gula-gula
untuk santapan sendiri. Macam Uncle Jacklah.
“Kalau kita dapat siapkan malam ni,
bagus. Esok malam boleh buat persediaan memasak pula,” kata Aunty Rissa
seolah-olah mahu menyedarkan semua yang membantu untuk berusaha menyiapkan
kerja ini malam ini juga.
“Kia rasa, baguslah kita menumpukan
perhatian pada kerja kita, ya,” tambahku dengan nada bergurau supaya tak adalah
yang terasa.
Aku sedar, walaupun sudah beberapa
kali aku dan Aunty Rissa menyindir mak cik-mak cik yang lain untuk berhenti
bercerita kosong dan cuba fokus dengan kerja, tak ada yang berkesan. Akhirnya,
aku menyimpulkan itu memang sudah lumrah wanita.
Dari jam 8 malam sehinggalah jam 10
malam, kerja kami masih tak siap-siap juga. Kaki dan belakangku sudah kebas
gara-gara terlalu lama duduk menyimpuh. Ku lihat, Kayla sudah beberapa kali
menyambut panggilan dari tunangnya. Entah apa yang dibincangkan, aku malas nak
ambil tahu.
Bahagiakah Kayla sekarang? Aku
tertanya-tanya. Dalam suasana riuh dan memenatkan macam ni. Tambahan lagi
dengan perkahwinan yang 100% manual. Maksudku, dengan cara tradisional tanpa
bantuan perancang majlis dan caterer. Ini semua atas permintaan mak dan bapa
dialah. Katanya nak mengekalkan cirri-ciri tradisional di kampong. Hmm..
Entahlah. Aku tengok air mukanya semakin kusut apabila menerima panggilan
tunangnya, Jerry. Apalah agaknya masalah mereka? Tapi, bukankah mereka saling
mencintai, mempercayai dan memahami antara satu sama lain? Dan bukankah mereka
sanggup merenangi lautan api untuk mempertahankan cinta mereka?
Eh, apasal aku pula yang lebih-lebih
ni. Jauh sangat fikiranku melayang sampai membayangkan lautan api, yang tak
wujud pun di atas muka bumi ini. Lautan api konon, laut Cina Selatan pun aku
rasa tak dapat direnangi dengan mudah. Itulah yang dikatakan madah cinta.
Kononnya cinta. Cintalah sangat.
“Kia, boleh tak tolong aku pergi
ambil barang di kereta Jerry?” permintaan Kayla mematikan kesinisan suara hatiku
tadi.
“Jerry ada sinikah?” tanyaku
bingung. Sejak tadi tak nampak batang hidungnya, tiba-tiba namanya disebut.
“Dia baru sampai. Aku suruh dia
hantar barang-barang untuk majlis nanti,” beritahu Kayla lagi sambil tersenyum.
Jelas kelihatan lesung pipit di pipi kanannya. Cantik manis betul sepupuku ini.
“O.. Jomlah,”
Kami turun ke bawah. Kulihat Jerry
sudah berbual-bual dengan bapa Kayla, Uncle Jusin. Segak bergaya juga walau
sudah malam begini. Tidaklah bertuksedo, tapi cukup kemas dengan t-shirt
birunya. Bila kami menghampiri, Jerry terus berpandangan dengan bakal
isterinya. Amboi, aku langsung tidak dipandangnya. Sekilas pun tidak. Begitulah
kalau orang yang dilamun cinta. Hanya kekasih hatilah yang dapat dilihat. Aku
sengaja berdiri jauh sikit dari mereka sementara berbual sebentar dengan Uncle
Jusin yang juga mengundur diri dari bakal pengantin.
“Em, uncle. Di mana nak simpan
barang-barang ni?” suara seorang lelaki muda kedengaran dari belakangku. Pantas
aku menoleh dan mendepani pemilik suara itu. Tak sopan juga membelakangi orang
yang sedang bercakap.
“Mari letak di dalam. Uncle tolong
bawakan yang lain,” Ujar Uncle Jusin sambil menawarkan untuk mengangkat barang-barang
yang kelihatan memenuhi kedua-dua tangan lelaki itu. Kesian juga aku lihat.
“Okay,” balas jejaka itu kemudian
menyerahkan beberapa beg plastic kepada Uncle Jusin.
Eh, tunggu sekejap. Aku rasa aku
pernah tengok muka jejaka ini. Aku pasti bukan di tv atau majalah. Secara live.
Tapi aku sendiri tak pasti bila.
2 comments:
ada smbungan ke...nie cerpen ke novel..hahah menarik la
ini novel.. tp setiap bab sya buat tajuk kecil.. so, akan ada sambungannya.. thx.. =)
_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me
Post a Comment